‘Bebaskan 21 adik-beradik kami segera’

Iklan
Masyarakat Orang Asli Kampung Jeremi mahu 21 kaum mereka dibebaskan selepas dikatakan menceroboh tanah.

KUANTAN - Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Kampung Jemeri mendesak pembebasan segera 21 penduduk suku Jakun yang ditahan atas dakwaan menceroboh tanah di Kampung Jemeri, di sini pada Selasa.

Pengerusinya, Bedul Chemai berkata, penahanan tersebut adalah tidak wajar memandangkan kesemua individu terbabit merupakan penghuni asal yang menetap di tanah dan wilayah adat itu secara turun-temurun.

Iklan
Iklan

“Mereka bukan penceroboh dan kawasan yang dipertikaikan itu adalah tanah warisan suku Jakun sejak sekian lama.

“Justeru, kami mendesak agar 21 adik-beradik kami dibebaskan serta-merta tanpa sebarang syarat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Selain pembebasan, Bedul berkata, komuniti berkenaan turut menuntut pihak berkaitan supaya menghentikan sebarang bentuk intimidasi atau gangguan terhadap penduduk Orang Asli di kawasan itu.

Jelas beliau, tindakan penduduk sebelum ini adalah berasaskan hak untuk mempertahankan tanah keluarga yang menjadi sumber kehidupan mereka sejak sekian lama.

Iklan

“Apa yang lebih penting ketika ini ialah pengiktirafan rasmi terhadap tanah dan wilayah adat masyarakat Orang Asli Kampung Jemeri.

“Langkah itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan pertikaian atau konflik serupa berulang pada masa hadapan,” tegasnya.

Terdahulu, seramai 21 Orang Asli ditahan selepas dipercayai menceroboh dan melakukan kerosakan di kawasan ladang milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada wakil syarikat dilantik untuk mengusahakan kawasan tersebut.