KUANTAN - Seorang pemandu peribadi dan pelajar maahad tahfiz yang dijatuhi hukuman mengikut undang-undang baharu antipembuangan sampah di Mahkamah Sesyen Temerloh di sini pada Khamis menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Jalan Lurah Semantan, Temerloh pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, sepanjang pelaksanaan, pesalah berusia 45 dan 26 tahun itu ditugaskan melaksanakan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu, mengutip sampah dan membersihkan longkang di kawasan awam tersebut.
Menurutnya, hukuman PKM itu dilaksanakan secara terkawal, beretika dan mematuhi prosedur undang-undang tanpa menjejaskan maruah individu yang terlibat.
"Bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), setiap pelaksanaan PKM dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp dengan penekanan kepada aspek keselamatan dan kebajikan pesalah termasuk penyediaan kelengkapan perlindungan diri bersesuaian," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Khalid berkata, PKM dilaksanakan secara serentak di beberapa negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
Beliau berkata, pelaksanaan sulung PKM secara serentak di bawah akta itu sebagai langkah penguatkuasaan berimpak tinggi bagi membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
"PKM dilaksanakan sebagai hukuman alternatif bersifat restoratif dan mendidik yang beralih daripada pendekatan denda kepada hukuman pemulihan melibatkan penglibatan langsung pesalah dalam kerja-kerja pembersihan komuniti.
"Pelaksanaan perintah itu membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat selain bertujuan membentuk sikap tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam," ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan perintah itu sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa pepejal negara.
Ujarnya, sehingga 11 Februari lalu, Pahang merekodkan 102 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan 89 warganegara tempatan dan 13 warganegara asing.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 60 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya KPKT dengan 21 kes daripadanya telah memperoleh izin dakwa manakala sembilan kes lagi dijadualkan untuk sebutan di mahkamah pada 3 hingga 4 Mac depan
Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua pesalah terbabit masing-masing didenda RM600 dan RM300 selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam pada 1 Januari lalu.
Selain itu, mahkamah memerintahkan mereka menjalani Perintah Khidmat Masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan, bersamaan satu jam sehari, selaras Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Mengikut pertuduhan, pemandu peribadi berusia 46 tahun didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat atau jalan awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan di Jalan Esplanade Temerloh, Jalan Semantan 1, pada jam 4.20 petang.
Dalam prosiding berasingan, pelajar maahad tahfiz yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, didakwa melakukan kesalahan sama di siar kaki Esplanade Temerloh pada jam 4.45 petang, tarikh sama.