KUANTAN - Orang ramai mengambil peluang cuti hujung minggu berkunjung ke Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini untuk berbelanja barangan keperluan sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di tapak pasar tani di tengah pusat bandar Kuantan itu meriah dengan kehadiran pengunjung walaupun cuaca hujan.
Rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui pasar tani menjadi tumpuan kerana mempunyai banyak pilihan terutama barangan basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran.
Bagi Liyana Rahman, 36, sudah menjadi kebiasaan baginya membawa keluarga berbelanja barangan keperluan di pasar tani itu setiap kali menjelang Ramadan.
Pembantu tadbir Sekolah KAFA dari Sungai Isap di sini berkata, pasar tani menjadi pilihannya atas faktor produk yang dijual segar, banyak pilihan dan harga yang ditawarkan amat berpatutan.
"Hari ini saya beli macam-macam, ada ikan patin, tempoyak, sayur-sayuran, ayam dan bermacam lagi.
"Selain itu, paling saya suka suasananya yang meriah selain kepelbagaian menu makanan yang dijual di sini," katanya.
Suri rumah dari Sepang, Selangor, Nur Zulitha Aripin, 36, pula berkata, kesempatan pulang ke Kuantan sempena Tahun Baharu Cina cukup bermakna apabila dia berpeluang menyambut awal Ramadan bersama keluarga di sini.
Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin dengan membuat persiapan awal bagi menyambut ketibaan Ramadan.
"Kebetulan ada pasar tani, saya bersama ibu datang untuk membeli barangan keperluan terutama barangan basah lebih awal.
"Alhamdulillah, semua bekalan barangan yang diperlukan ada dan mencukupi. Selain segar, harga yang ditawarkan juga masih berpatutan walaupun Ramadan disambut hampir serentak dengan perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.
Peniaga daging, Mohd Khairul Anuar Mohd Zain, 43, mengakui sambutan terhadap daging lembu cukup tinggi menjelang Ramadan beberapa hari lagi.
Katanya, bagi jualan di pasar tani itu pada Ahad, dia menambah bekalan kepada 100 kilogram (kg) berbanding 70 hingga 80 kg pada hari biasa.
"Sambutan hari ini amat menggalakkan hingga tidak menang tangan melayan pelanggan.
"Melihat kepada sambutan, saya jangka daging yang dijual pada harga RM39 sekilogram ini habis awal," katanya.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Rashiha Mamat berkata, FAMA telah menganjurkan Program Semarak Ramadan termasuk di pasar tani seluruh negara bagi memudahkan pengguna mendapatkan keperluan harian, bahan mentah dan makanan asas yang berkualiti pada harga berpatutan untuk persiapan Ramadan.
Beliau berkata, Semarak Ramadan FAMA negeri Pahang telah berlangsung sejak Sabtu di Pasar Tani Kekal (PTK) Pekan diikuti hari ini (Ahad) di Pasar Tani UTC, Kuantan.
"Seterusnya di Pejabat FAMA Negeri Pahang dan PTK Jerantut pada Isnin serta PTK Jengka pada Selasa depan," katanya.
Sementara itu, Rashiha berkata, barangan keperluan terutama barangan basah sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina di negeri ini mencukupi.
Selain di pasaran, ia juga boleh diperoleh di lima PTK selain outlet yang bekerjasama dengan FAMA termasuk 19 AgroBazaar Rakyat (ABR), 25 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan 18 pasar tani di negeri ini.
"Bekalan mencukupi, jadi tidak perlu membuat pembelian panik.
"Sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan kekurangan bekalan, FAMA akan bersedia mengambil langkah intervensi," katanya.