KUANTAN - Di sebalik kehadiran beberapa pelukis jalanan terutama pelukis veteran di lokasi tumpuan Pantai Teluk Cempedak di sini, terselit kisah perjuangan senyap digalas mereka memperjuangkan kelangsungan seni kontemporari itu.
Ketika dunia kini semakin terarah kepada teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), mereka masih setia dengan lukisan tangan kerana seni itu masih diminati dan ada peminatnya sendiri.
Bagi Jefri Ahmad, 55, sebagai pelukis sepenuh masa, dia bergantung kepada hasil tempahan lukisan dari pengunjung pantai peranginan itu selain di beberapa lokasi tumpuan lain di sekitar Kuantan.
Dia yang fokus kepada lukisan potret dan karikatur mengakui permintaan terhadap lukisan itu tetap ada kerana masih ramai peminatnya.
Pada masa sama, bekas pekerja grafik ini juga tidak menolak wujud kesan tidak langsung dari lambakan pelbagai aplikasi digital dan AI yang mana semua orang boleh menghasilkan karya sendiri di telefon bimbit atau komputer dan mencetaknya pada bila-bila masa.
“Saya melihat situasi ini ada baik buruknya tetapi bagi pelukis jalanan seperti kami tetap akan mempertahankan lukisan asli hasil kreativiti dan bakat dianugerahkan.
“Lukisan asli tetap ada peminat. Saya masih terima tempahan cuma agak sukar untuk meletakkan harga sesuai dengan nilai karya dihasilkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, lukisan karikatur dihasilkan berharga sekitar RM10 hingga RM20 sahaja namun di tempat lain seperti Kuala Lumpur mampu memperoleh harga lebih tinggi mencecah RM50 hingga RM100.
“Untuk lukisan potret, harga bergantung kepada media, saiz dan masa untuk menyiapkan sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit,” katanya yang agak keberatan untuk berkongsi pendapatan hasil kerja seninya itu.
Bagi Mazlan Ab Rani, 66, seni lukis bukan sekadar hasil visual tetapi lahir daripada jiwa dan pengalaman.
Katanya, lukisan tangan mempunyai ‘aura’ atau ‘roh’ yang tidak mampu ditiru oleh karya digital atau AI.
“Lukisan asli lebih dihargai peminat seni yang benar-benar faham nilai sesebuah karya seni kerana ia bukan sekadar cantik, tetapi lahir daripada imaginasi pelukis itu sendiri,” jelasnya.
Mula aktif melukis sebagai hobi selepas bersara daripada penjawat awam pada 2020, Mazlan tidak menafikan realiti bahawa lukisan digital dan AI kini lebih diminati generasi muda yang ‘berkiblatkan’ kecantikan visual berbanding nilai seni.
“Memang tidak boleh nafikan, seni digital semakin mendominasi kerana ia lebih murah, mudah dan boleh dihasilkan sendiri.
“Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pelukis jalanan malah berpotensi membunuh kreativiti dan nilai seni jika tidak diseimbangkan,” ujarnya.
Pelukis veteran, Md Noh Abdul Majid, 85, pula berpandangan seni itu universal dan berkembang mengikut peredaran zaman.
Pesara auditor yang mula melukis pada 2013 itu percaya nilai seni menjadi pemisah utama antara karya asli dan digital.
“Orang yang tahu nilai seni tetap menghargainya cuma dari aspek komersial, digital memang menjuarai zaman ini kerana mudah, cantik dan murah,” kongsinya.
Beliau yang gemar menghasilkan lukisan landskap turut menegaskan bahawa generasi baharu mungkin cenderung kepada karya digital, namun seni asli tidak akan mati selagi ada penghargaan terhadap nilainya.