SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyambut baik langkah SIS Forum (Malaysia) menggugurkan perkataan 'Islam' daripada nama 'Sisters In Islam' yang lazim digunakan oleh syarikat itu sebagai tanda menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan itu merupakan satu langkah wajar dan mencerminkan kesediaan SIS Forum Malaysia untuk akur kepada nasihat serta titah baginda selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor.
"Sultan Selangor telah menyampaikan hasrat agar SIS Forum (Malaysia) meneruskan aktiviti memberi kesedaran berhubung hak wanita dan undang-undang keluarga Islam menurut ajaran yang sebenar.
"Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, SIS Forum (Malaysia) juga hendaklah menumpukan usaha untuk meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat demi keharmonian masyarakat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Sultan Selangor turut menasihatkan mana-mana organisasi agar sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan berkaitan Islam.
Katanya, perkara yang disampaikan kepada masyarakat mestilah tidak bercanggah dengan ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam pada itu, MAIS turut menyarankan supaya semua pihak tidak lagi merujuk kepada SIS Forum dengan nama 'Sisters In Islam' dalam sebarang kenyataan atau penerbitan selepas ini.
Terdahulu, SIS Forum (Malaysia) menggugurkan perkataan Islam daripada nama yang digunakan secara umum susulan nasihat Sultan Selangor.
Pengarah Eksekutifnya, Rozana Isa berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu dan kini kumpulan itu akan menggunakan nama berdaftarnya, SIS Forum (Malaysia).
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan dukacita berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai ke atas SIS Forum (Malaysia), kerana ia adalah sebuah entiti dan bukan individu.
Sehubungan keputusan tersebut, Sultan Sharafuddin menggesa SIS Forum berhenti menggunakan perkataan 'Sisters in Islam' ke atas sebarang bentuk penerbitan di platform dikaitkan dengan syarikat mereka.