Kilang proses makanan disiasat lepaskan efluen ke sistem perparitan awam

Iklan
Premis terbabit diarahkan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan bagi menangani masalah tersebut. - Foto JAS

SUNGAI PETANI – Sebuah kilang pembuatan makanan di sini dikesan melepaskan efluen berwarna keruh kekuningan ke sistem perparitan awam sekali gus berisiko mencemarkan alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis berkenaan telah dikenakan Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan dibuat berdasarkan pemantauan berkala ke atas kawasan perindustrian di daerah Kuala Muda yang dikenal pasti berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Hasil siasatan mendapati efluen berwarna keruh kekuningan disyaki berpunca daripada kegagalan sistem pengolahan efluen perindustrian di premis berkenaan untuk berfungsi dengan baik.

Iklan

“Sampel efluen turut diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta yang sama jika sabit kesalahan, yang memperuntukkan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM10 juta serta penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

Iklan

Beliau berkata, kilang berkenaan telah dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan operasi yang disyaki menghasilkan efluen yang dilepaskan ke dalam sistem pengolahan efluen perindustrian.

Selain itu, premis terbabit turut diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan bagi menangani masalah berkenaan.