Terengganu batal konsert di Dataran Shahbandar, hormat kedatangan Ramadan – Exco

Iklan
Wan Sukairi (kanan)

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu membatalkan penganjuran konsert nyanyian di Dataran Shahbandar, di sini bagi menghormati kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat memandangkan tempoh penganjuran yang semakin hampir dengan bulan Ramadan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengeluarkan makluman rasmi bahawa tiada sebarang konsert nyanyian akan diadakan di Dataran Shahbandar sepanjang tempoh berkenaan sebagaimana yang tular di media sosial sebelum ini.

“MBKT mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang konsert nyanyian akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dari 5 hingga 8 Februari.

Iklan

“Bagaimanapun, program selama tiga hari, Rasa Fusion Food Festival yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh sama tetap diteruskan seperti dirancang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, kumpulan muzik HyperAct turut memuat naik kenyataan di laman sosial mereka bagi memaklumkan pembatalan persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari 2026 sempena Rasa Fusion Food Festival.

Iklan

Menurut kenyataan itu, pembatalan dibuat atas sebab-sebab teknikal yang melibatkan urusan dokumentasi dan kelulusan yang berada di luar kawalan pihak kumpulan dan penganjur.

“HyperAct memohon maaf kepada peminat di Terengganu atas segala kesulitan dan kekecewaan yang timbul serta berharap dapat kembali membuat persembahan di Terengganu pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Peduli Ummah Terengganu membantah penganjuran program berbentuk hiburan yang didakwa akan diadakan di Dataran Shahbandar antara 5 hingga 8 Februari.

Setiausaha Peduli Ummah Terengganu, Syed Abdul Rahman Syed Hasan berkata, pihak penganjur diminta menghormati adab serta kesucian bulan Syaaban dan Ramadan dengan tidak menganjurkan konsert atau program yang melalaikan generasi muda.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak penganjuran program atau aktiviti ekonomi sebagai usaha menjana pendapatan, namun ia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti agama dan masyarakat setempat.