KUALA LUMPUR - Kilang sisa elektronik (e-waste) dan tapak sampah haram perlu dibanteras dan dihapuskan bermula di peringkat awal sebelum berlaku pencemaran.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, tindakan awal perlu diambil oleh pihak berkaitan.
"Kilang haram perlu dibanteras dan dihapuskan dan usah tunggu sehingga pencemaran untuk panggil JAS siasat pencemaran.
"Kesalahan pertama ialah haram dan patut dirobohkan, buat apa perlu tunggu pencemaran baru mahu ambil tindakan.
"Tapak sampah haram yang terbakar sebagainya, banteras dan ia tidak perlu wujud kerana lama kelamaan orang buang (sampah) dan terbakar, akhirnya panggil JAS. Sepatutnya peringkat awal ialah hapuskan," katanya semasa sesi libat urus di sini pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Dr Norhazni Mat Sari serta pengarah kanan jabatan.
Tambah Wan Abdul Latiff, pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan kerjasama bersama agensi kerajaan.
"Di pelabuhan kita dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) periksa kontena bawa e-waste haram.
"Itu yang kita maklumkan bahawa kita sedaya upaya laksanakan tugas," ujarnya.
Mengulas daripada segi keanggotaan jabatan, beliau berkata, JAS mempunyai kekuatan 1,113 pegawai dan anggota seluruh negara dan perlu melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan dalam pelbagai isu termasuklah e-waste.
Katanya, JAS telah mengemukakan permohonan untuk pengukuhan dan penambahbaikan sehingga 3,000 orang di JAS.
"Memang kita tidak cukup keanggotaan dalam penguatkuasaan. Macam industri, kita ada lebih 63,000 industri seluruh negara dan 1,113 orang nak pergi setahun memang tak cukup.
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, dalam setahun hanya boleh pergi 18,000 hingga 20,000 (industri) sahaja. Kalau ikut hasrat kita, sebuah kilang paling kurang dua kali pergi, kita tak mampu, sebaiknya empat kali dan ini tidak termasuk aduan awam yang diterima lebih 10,000 setahun," ujarnya.
Jelasnya, hasrat JAS mahukan setiap daerah mempunyai satu pejabat.
"Sekarang belum lagi capai. Tetapi kepentingan dari segi alam sekitar mendapat perhatian semua pihak termasuk Ahli Parlimen yang menyebut JAS perlu diperkasakan, perlu dipertambah dari segi perjawatan dan itu jadi asas kita mohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.