Tiga lelaki ganggu penyu boleh dikenakan tindakan tegas - Jabatan Perikanan

Iklan
Perbuatan tiga individu tidak dikenali yang mengganggu seekor penyu agar di Pantai Pendaratan Penyu, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cerating tular di media sosial. Foto kecil: Roslan Abu Hasan

KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang kesal dengan perbuatan tiga individu tidak dikenali yang mengganggu seekor penyu agar di Pantai Pendaratan Penyu, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cerating pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 pagi itu, penyu berkenaan dipercayai sedang naik ke pantai untuk bertelur sebelum diperlakukan dengan kejam oleh kumpulan terbabit.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, perbuatan itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

"Kami amat kesal dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini.

Iklan

"Penyu adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan kejadian seperti ini mencerminkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan siasatan awal telah dijalankan di lokasi kejadian dan satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Cerating.

Iklan

Jelas Roslan, usaha pengesanan dan tindakan susulan sedang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985.

"Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM500 dan tidak melebihi RM20,000," ujarnya.

Roslan berkata, pemantauan berterusan sedang dilaksanakan oleh pihaknya di lokasi-lokasi pendaratan penyu utama di negeri ini.

Antaranya termasuklah Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru komuniti setempat dan pengusaha pelancongan agar turut sama memainkan peranan melindungi penyu.

"Kita semua bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian sumber marin negeri ini.

"Laporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan agar penyu-penyu ini terus selamat dan dapat terus mendarat di perairan kita," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya akan terus komited dalam usaha perlindungan penyu serta menjalankan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam secara berterusan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan manakala dua rakannya masih dikesan kerana disyaki terlibat mengganggu seekor penyu yang naik bertelur di kawasan PPKP Cerating di sini pada Ahad lalu.

Suspek berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari Isnin di sekitar Cerating.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengganggu penyu tersebut bagi mempercepatkan proses bertelur dengan tujuan mengambil telur untuk dijual atau digunakan secara haram.