PETALING JAYA – Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar kerajaan membina sebuah pusat penjaja baharu bagi menempatkan kira-kira 100 penjaja yang terlibat dalam isu pengosongan tanah di kawasan Lembah Subang 1.
Beliau berkata, tindakan perobohan dan pengusiran penjaja tidak seharusnya dilakukan tanpa menyediakan penyelesaian yang lebih mampan, terutama kerana kebanyakan mereka merupakan golongan B40 yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan.
"Isu ini melibatkan penjaja yang berniaga di atas tanah milik Rapid dan KPKT. Di atas tanah Rapid terdapat lebih 30 penjaja, manakala di kawasan KPKT pula ada kira-kira 70 penjaja, termasuk bengkel, taska, sebuah surau serta kuil," ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis dialog bersama penduduk di kawasan berkenaan pada Ahad.
Menurutnya, pihak Rapid difahamkan mahu melebarkan jalan berhampiran, menyebabkan penjaja perlu dipindahkan, manakala penjaja di kawasan tanah KPKT juga telah menerima notis pengosongan.
"Memang betul dari segi undang-undang, pemilik tanah berhak mengambil semula tanah mereka. Tapi dari segi kemanusiaan dan keadilan, kerajaan seharusnya menyediakan alternatif terlebih dahulu," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan pusat penjaja kekal di kawasan berhampiran memandangkan Lembah Subang 1 mempunyai lebih 3,000 unit rumah PPR yang dianggarkan menempatkan hampir 10,000 penduduk.
"Sekiranya pusat penjaja dibina di sini, saya yakin ia boleh maju kerana sudah ada pelanggan sedia ada. Ia dapat menjana ekonomi komuniti dan menyediakan tempat perniagaan yang lebih teratur untuk penjaja," ujarnya.
Tambahnya, masih terdapat tanah kosong milik KPKT di kawasan itu yang dianggarkan seluas 2.43 hingga 2.83 hektar yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan semula kawasan penjaja dan kemudahan lain.
Noh turut mencadangkan agar pembinaan pusat penjaja berkonsepkan ruang perniagaan bertingkat seperti kompleks, sebagaimana yang pernah dirancang semasa beliau menerajui KPKT.
"Bawah ada gerai, atas boleh dijadikan parkir. Kita pernah cadang dulu, tapi malangnya tidak sempat dilaksanakan dan saya berharap ia dapat diteruskan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan pentingnya kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pemilik tanah serta wakil penjaja duduk semeja berbincang bagi mencari penyelesaian bersama.
"Masalah ini tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja. Perlu ada kerjasama antara KPKT, Rapid, majlis bandar raya dan pejabat tanah, selain melibatkan wakil penjaja yang telah menubuhkan jawatankuasa bertindak mereka sendiri," tambahnya.