KUALA LUMPUR – ASEAN perlu segera campur tangan secara berkesan bagi menghentikan ketegangan yang semakin memuncak antara Thailand dan Kemboja susulan insiden pertempuran bersenjata di kawasan sempadan berhampiran Preah Vihear dan Prasat Ta Muen Thom.
Presidennya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ini kerana konflik berkenaan semakin tidak terkawal sehingga meragut nyawa orang awam termasuk kanak-kanak serta mengancam kestabilan serantau.
“ABIM menzahirkan rasa dukacita dan keprihatinan mendalam terhadap kehilangan nyawa serta kemusnahan yang berlaku, khususnya melibatkan orang awam yang tidak berdosa akibat tindakan ketenteraan yang berterusan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
“Kenyataan saling menyalahkan antara Thailand dan Kemboja tidak akan membantu meredakan keadaan sebaliknya hanya memburukkan lagi krisis yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, ASEAN tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat, sebaliknya perlu tampil dengan pendirian yang tegas, berani dan berwibawa dalam merintis jalan penyelesaian yang damai, adil dan bermaruah.
ABIM turut menyambut baik usaha awal diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan penyelesaian diplomatik dan pengukuhan prinsip kejiranan baik dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
Bagaimanapun, katanya, konflik yang berpanjangan itu menuntut tindak balas susulan yang lebih menyeluruh dan berpaksikan kebijaksanaan serta keberanian politik bersama.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mempunyai tanggungjawab moral dan strategik untuk memperkukuh prinsip keamanan, keadilan dan penyelesaian tanpa kekerasan seperti termaktub dalam Piagam ASEAN dan Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC),” tegas Ahmad Fahmi.
Katanya, ASEAN tidak boleh membiarkan konflik dua hala antara negara anggota menjadi titik kelemahan yang mencemarkan reputasi rantau ini sebagai model keamanan dan integrasi serantau terbaik dunia.
“Krisis Thailand dan Kemboja ini tidak wajar menjadi penghancur kepada legasi keamanan yang telah dibina bersama selama puluhan tahun,”katanya.
Menurut beliau lagi, keamanan serantau hanya akan terjamin sekiranya semua negara anggota ASEAN menjunjung prinsip penyelesaian damai, menolak sebarang bentuk keganasan, dan memperkukuh kesepaduan rantau berteraskan solidariti, saling percaya serta nilai bersama.
“ABIM komited untuk terus menyuarakan pendirian tegas dalam mempertahankan prinsip keadilan dan keamanan di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.