Suruhanjaya Kredit Pengguna bakal ditubuhkan kawal industri kredit tidak berlesen - MoF

Iklan
MoF menyatakan bahawa RUUKP mencerminkan iltizam kerajaan dalam membentuk ekosistem kredit yang lebih selamat.

PUTRAJAYA– Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bakal ditubuhkan menerusi Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) sebagai badan kawal selia tunggal bagi menyusun semula industri kredit.

Ia termasuk perkhidmatan kewangan yang sebelum ini tidak tertakluk kepada pemantauan langsung pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) pada Rabu, SKP akan diberi kuasa untuk mengawal selia syarikat pajakan, pemfaktoran, agensi kutipan hutang dan penyedia pembiayaan digital bukan bank sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan.

“RUUKP akan menjadi akta utama yang mengawal selia semua bentuk perniagaan kredit dan perkhidmatan berkaitan. Ia akan memastikan perlakuan yang adil oleh penyedia kredit serta mewajibkan ketelusan dalam pengenaan caj,” jelas kenyataan itu.

Iklan

Ujar MoF, penubuhan SKP juga membolehkan pemindahan fungsi pengawalseliaan daripada pelbagai kementerian dan agensi ke bawah satu bumbung, menjadikan pengawasan industri kredit lebih seragam dan efisien.

"Langkah ini dilihat sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menghadapi cabaran era kewangan digital yang semakin kompleks, termasuk lambakan pinjaman segera dan skim 'Buy Now Pay Later' (BNPL) yang berpotensi menjerat pengguna dengan hutang melampau serta risiko penipuan," jelasnya.

Iklan

Melalui RUUKP, garis panduan profesional akan diperkenalkan dalam pengurusan kutipan hutang dan penyelesaian pertikaian selain memberi peluang kepada pengguna yang mengalami kesulitan kewangan untuk mendapatkan khidmat nasihat melalui saluran sah dan berdaftar.

MoF menyatakan bahawa RUUKP mencerminkan iltizam kerajaan dalam membentuk ekosistem kredit yang lebih selamat, profesional dan inklusif.

“RUUKP bukan sekadar rang undang-undang, tetapi refleksi komitmen jangka panjang negara dalam memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada amalan kredit yang menindas,” menurut kenyataan itu lagi.

RUUKP yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa digubal bagi menangani kelompongan ketara dalam industri tidak dikawal selia khususnya perniagaan yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi.

Pelaksanaan berfasa yang dirancang rapi dijangka membawa impak besar kepada landskap kewangan negara, sekali gus mengangkat aspek perlindungan pengguna sebagai keutamaan dalam setiap transaksi kredit.