KUALA LUMPUR - Seorang pengembara solo dan pembikin dokumentari tanah air, Zahariz Khuzaimah mengabadikan segala pengalama dan detik-detik pengembaraan berbasikalnya dalam buku ‘Dengan Basikal Aku Merentas Benua Asia, Catatan Pengembara Penuh Inspirasi’.
Menurut beliau buku ini merupakan sebuah catatan peribadi yang merangkumkan kisah kembara rentas benua yang menakjubkan, penuh cabaran dan sarat nilai kemanusiaan.
Bagi Zahariz, buku berkenaan bukan sekadar dokumentasi perjalanan fizikal, tetapi merupakan refleksi jiwa dan falsafah hidup yang digarap melalui pertemuan dengan pelbagai watak dan budaya sepanjang pengembaraan sejauh ribuan kilometer merentas Asia, dari selatan China hingga ke Kyrgyzstan.
“Setiap kayuhan memberikan saya pengajaran hidup tentang erti kesabaran, ketabahan, kepercayaan kepada manusia dan keagungan ciptaan Tuhan. Penulisan ini adalah hadiah dari saya untuk mereka yang ingin menjelajah melihat dunia dan lebih mengenali diri sendiri.
“Saya percaya bahawa dunia ini adalah ‘sekolah’ yang sangat luas dan tiada silibus yang lebih hidup daripada pengalaman di jalanan. Kita belajar tentang budaya, agama, bahasa dan pelbagai ragam manusia, semua itu menyedarkan saya betapa luasnya rahmat Allah dan betapa kecilnya diri kita sebagai manusia. Saya tidak pernah merancang perjalanan ini untuk mencari kemasyhuran atau pencapaian, sebaliknya ia lebih kepada pencarian makna kehidupan, mengenal Tuhan melalui ciptaan-Nya.
“Saya harap buku ini dapat menjadi pemangkin kepada pembaca untuk berani keluar dari zon selesa, mengembara walau dalam bentuk yang kecil dan melihat dunia ini dengan lebih terbuka dan penuh kasih sayang,” ujarnya menceritakan tentang karya pertamanya.
Paling istimewa buku ini setebal lebih 200 halaman kisah sebenar, disertakan foto-foto eksklusif dari lensa Zahariz sendiri, menjadikan ia bukan sahaja sebagai bahan bacaan, malah sebagai karya visual yang menyentuh hati pembaca.
Sementara itu, bagi penaja lokasi majlis pelancaran dan pelbagai peralatan kembara Zahariz iaitu pihak Rodalink, Meor Latif (Pengurus Cawangan Rodalink Bangsar) berharap lebih ramai belia akan terlibat dalam aktiviti riadah menggunakan basikal sebagaimana dilakukan oleh Zahariz.
Katanya, Rodalink sangat berbesar hati menjayakan impian Zahariz dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap misi anak muda itu bagi mengangkat budaya kembara dan menjadikan pengembaraan sebagai medium pendidikan tidak formal yang sangat berharga.
“Kami di Rodalink percaya bahawa pengembaraan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu bentuk pembelajaran hidup yang mendalam. Melalui perjalanan seperti yang dilalui oleh Zahariz, kita dapat melihat bagaimana basikal bukan sekadar alat mobiliti, tetapi simbol kebebasan, kesederhanaan dan hubungan erat dengan alam.
“Kami amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan pelancaran buku ini kerana ia mencerminkan nilai-nilai yang kami perjuangkan – iaitu keberanian untuk mencabar diri, ketekunan dalam menghadapi rintangan dan keindahan dalam menyelami budaya dan pengalaman baharu.
“Kami berharap kisah inspirasi Zahariz ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda,” ujar Meor.
Pada majlis berkenaan juga, Zahariz turut menayangkan pelbagai futej menarik sepanjang hampir sembilan bulan beliau mengembara yang bermula bulan Mei 2010 hingga Februari 2011.
Kembara ini bermula di Chengdu (China) dan berakhir di pergunungan di Kyrgyzstan. Pengembaraan ini melibatkan kos perbelanjaan RM8,000 termasuk tiket penerbangan, makan minum, kos penyelengaraan basikal, penginapan dan perubatan.