Wajar bahas isu Ambalat di Parlimen

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai isu Ambalat.

Kerajaan perlu bersikap telus urus sempadan, elak konflik masa depan

SHAH ALAM – Isu pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi wajar dibahaskan secara terbuka di Parlimen demi memastikan ketelusan kerajaan dalam mengurus sempadan serta sumber strategik negara.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, permintaan pembangkang agar perkara itu didedahkan kepada umum tidak seharusnya dipandang serong kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa pembentangan tersebut wajar dibuat hanya selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal antara Malaysia dan Indonesia berlangsung, yang dijangka pada akhir bulan ini.

“Jadi, seeloknya biarlah mesyuarat ini berlangsung dahulu, lihat keputusannya bagaimana dan selepas itu barulah kerajaan mendedahkan.

Iklan

“Maknanya, kerajaan perlu bersikap telus dengan rakyat supaya tidak timbul dakwaan yang tidak diingini kerana ini adalah kawasan bertindih antara Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, Ambalat merupakan kawasan kaya dengan sumber minyak dan gas, justeru kerajaan bertanggungjawab untuk berterus terang dengan rakyat dalam apa jua keputusan melibatkan aset strategik negara.

Iklan

Ditanya mengenai kemungkinan keputusan untuk memajukan kawasan Ambalat bersama Indonesia boleh dianggap sebagai kompromi terhadap tuntutan kedaulatan Malaysia, jelasnya, kerjasama tersebut tidak semestinya mencerminkan pengorbanan kedaulatan.

Ujarnya, jika kedua-dua negara bersetuju untuk memajukan kawasan itu tanpa membawa kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), ia boleh dianggap sebagai satu penyelesaian damai.

“Pada pandangan saya, Indonesia tidak mahu membawa hal Ambalat ke ICJ kerana masih trauma dengan kekalahan kes Sipadan dahulu, manakala Malaysia pula tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan terlalu lama.

“Jadi, kalau nak memajukan kawasan Ambalat, kita tidak boleh anggap ia sebagai satu kompromi, tetapi lebih kepada usaha mengekalkan keamanan demi pembangunan bersama.

“Bagaimanapun, ia mesti dibuat melalui perjanjian yang adil supaya tidak timbul dakwaan Malaysia mendapat kurang, Indonesia mendapat lebih. Sebab itu, sangat penting pakar dalam undang-undang antarabangsa, perdagangan dan sebagainya turut terlibat,” katanya.

Ditanya mengenai kandungan utama Triti Sulawesi yang didakwa menjadi pertikaian, ujarnya, dokumen tersebut yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak melibatkan kawasan yang dirujuk sebagai Blok Ambalat, sebaliknya hanyalah satu triti antara Malaysia dan Indonesia membabitkan sempadan separa laut wilayah di Laut Sulawesi.

“Kandungan sebenar perjanjian itu tidak pernah dirunding secara terbuka, malah sehingga kini hanya pihak yang menandatangani perjanjian berkenaan mengetahui butirannya. Jadi, jika benar tiada apa yang hendak disembunyikan, eloklah ia dibentangkan,” katanya.

Salawati turut memberi amaran bahawa kegagalan menyelesaikan isu tuntutan wilayah secara konkrit boleh membawa kepada risiko keselamatan dan konflik pada masa hadapan.

“Ini kerana kita tidak pernah memutuskan secara muktamad siapa pemiliknya, di mana sempadannya, dan dengan siapa ia berkaitan,” jelasnya.