“Pulang” sentuh jiwa, angkat nilai kekeluargaan, semarak perpaduan

Iklan
Filem pendek “Pulang” boleh ditonton melalui platform media sosial @aaronagodagang serta saluran rasmi Kementerian Perpaduan Negara.

KUALA LUMPUR – Usaha memupuk perpaduan nasional terus diperkasakan apabila Kementerian Perpaduan Negara tampil dengan filem pendek istimewa berjudul “Pulang” sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, sebuah karya sarat emosi yang mengangkat nilai kasih sayang, kehilangan dan makna sebenar sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, filem tersebut mengisahkan perjalanan hidup seorang pemandu teksi warga emas, Uncle Lim yang terperangkap dalam kesunyian selepas kehilangan isteri dan anak akibat terlalu mengejar tuntutan kerja sehingga mengabaikan keluarga.

Iklan
Iklan

"Namun, takdir menemukan beliau dengan pelbagai insan daripada latar berbeza yang akhirnya membuka kembali pintu hatinya terhadap nilai kasih dan kebersamaan," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kekuatan filem ini terserlah menerusi lakonan penuh penghayatan Lee Kah Chun atau Abdul Rahman Lee yang membawakan watak Kai, seorang suami dan bapa penyayang berasal dari Sabah.

Iklan

Watak Kai digambarkan sebagai lelaki yang tenang, matang dan sarat empati. Kehadirannya bukan sekadar penumpang biasa, malah menjadi pencetus perubahan emosi dalam diri Uncle Lim.

Dalam satu babak yang menyentuh perasaan, Kai tanpa ragu menjemput warga emas itu untuk bersama keluarganya menikmati makan besar Tahun Baharu Cina — satu tindakan kecil yang sarat makna kemanusiaan.

Iklan

Penghayatan watak yang bersahaja namun mendalam menampilkan nilai ihsan, hormat dan keterbukaan, sekali gus mencerminkan wajah generasi Malaysia yang menjadikan perpaduan sebagai amalan hidup.

Kelembutan wanita, pengikat keharmonian

Turut memperkukuh penceritaan ialah watak Jia, isteri kepada Kai yang berasal dari Sarawak. Watak tersebut digambarkan sebagai wanita lembut tutur kata dan tinggi nilai keprihatinan.

Pertanyaannya yang ringkas, “Uncle tak balik kampung ke?” membuka ruang kepada kisah duka Uncle Lim yang sudah dua tahun tidak menyambut perayaan bersama keluarga.

Nada suaranya yang lembut melambangkan empati generasi muda terhadap golongan lebih tua.

Watak Jia mencerminkan peranan wanita sebagai tunjang keharmonian keluarga serta jambatan yang menyatukan nilai tradisi dengan semangat kebersamaan merentas budaya dan wilayah.

Kepelbagaian sebagai kekuatan

Menurut kementerian, filem ini turut menampilkan wajah-wajah masyarakat Malaysia yang pelbagai sebagai simbol keharmonian negara.

Sapaan mesra seorang penumpang lelaki India, diikuti kehadiran wanita Melayu yang fasih bertutur bahasa Mandarin, menggambarkan realiti kehidupan rakyat yang saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Keluarga bukan sekadar ikatan darah, tetapi juga terjalin melalui nilai kemanusiaan dan keikhlasan.

"Perkongsian bahasa dan budaya menjadi jambatan yang merapatkan jurang perbezaan," kata kenyataan kementerian itu lagi.

Setiap watak yang ditampilkan membawa mesej jelas bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya realiti yang hidup dalam kehidupan harian masyarakat.

Dari kesunyian ke sinar harapan

Antara babak paling menyentuh perasaan ialah paparan “8 Missed Calls – Anak” pada skrin telefon Uncle Lim, simbol penyesalan yang tidak mampu ditebus.

Namun, sinar harapan kembali apabila Jun, anak kecil Kai dan Jia, menghulurkan sebiji limau sambil mengucapkan “Gong Xi Fa Cai, Uncle”.

Jun, anak kecil Kai dan Jia menghulurkan sebiji limau sambil mengucapkan"Gong Xi Fa Cai, Uncle”.

"Sentuhan kecil itu menjadi lambang bahawa kasih sesama insan masih mampu menyinari kehidupan walaupun kehilangan tidak terganti," kata kenyataan itu.

Adegan tersebut menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar ikatan darah, tetapi juga terjalin melalui nilai kemanusiaan dan keikhlasan.

Perpaduan bermula dari hati

Filem ini menutup kisah dengan mesej bahawa walaupun insan tersayang telah tiada, kasih sayang tetap menerangi jalan pulang dan daripada kasih sesama manusia lahirlah perpaduan.

Filem pendek “Pulang” boleh ditonton melalui platform media sosial @aaronagodagang serta saluran rasmi Kementerian Perpaduan Negara.

Lebih daripada sekadar filem perayaan, “Pulang” merupakan cerminan realiti masyarakat Malaysia — bahawa dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan latar belakang, rakyat negara ini tetap berkongsi nilai yang sama iaitu keluarga, kasih sayang dan harapan sebagai asas perpaduan negara.