15 pesalah buang sampah jalani khidmat masyarakat serentak di lima negeri

Iklan
Seramai empat pesalah termasuk warga asing menjalani hukuman membersihkan kawasan sekitar Dataran Merdeka pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Seramai 15 pesalah yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah bagi kesalahan membuang sampah merata melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) menerusi kerja pembersihan awam di beberapa negeri pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, semua pesalah itu dikenakan hukuman denda dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama empat jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Iklan
Iklan

Khalid (kanan) ketika hadir ke lokasi PKM di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, di Kuala Lumpur, empat pesalah termasuk warga asing menjalani hukuman dengan membersihkan kawasan sekitar Dataran Merdeka yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.

Iklan

"SWCorp melaksanakan PKM secara serentak sebagai langkah penguatkuasaan berimpak tinggi bagi membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.

“Pelaksanaan sulung di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 itu melibatkan lima negeri iaitu Kedah (dua pesalah), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Negeri Sembilan (dua), Johor (lima) serta Pahang (dua),” katanya pada  sidang media di sini.

Iklan

Salah seorang pesalah membersihkan kawasan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan semua pesalah berkenaan menjalani PKM serentak dengan menjalani hukuman membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam mengikut sabitan mahkamah.

Beliau berkata, sejak pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil dikuatkuasakan, sebanyak 600 notis pemberitahuan kesalahan dikeluarkan melibatkan 462 warga tempatan dan 138 warga asing.

Setiap pelaksanaan PKM dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, PKM dilaksanakan sebagai hukuman alternatif bersifat restoratif dan mendidik, beralih daripada pendekatan denda kewangan kepada hukuman pemulihan yang melibatkan penglibatan langsung pesalah dalam kerja-kerja pembersihan komuniti.

Menurutnya, PKM membawa mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat, selain bertujuan membentuk sikap tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan awam.

Jelas beliau, hukuman PKM dilaksanakan secara terkawal, beretika dan mematuhi prosedur undang-undang tanpa menjejaskan maruah individu yang terlibat.

"Bagi fasa pertama pelaksanaan PKM, seramai 15 pesalah berumur antara 20 hingga 50 tahun telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman tersebut melibatkan lima negeri berkenaan.

"Tempoh hukuman PKM berbeza mengikut tahap kesalahan dan lokasi tugasan dengan tempoh maksimum selama 10 jam dan minimum empat jam sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah. Sepanjang pelaksanaan, pesalah ditugaskan melaksanakan kerja-kerja pembersihan termasuk menyapu, mengutip sampah dan membersihkan longkang di kawasan awam," katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), setiap pelaksanaan PKM dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp dengan penekanan kepada aspek keselamatan dan kebajikan pesalah termasuk penyediaan kelengkapan perlindungan diri yang bersesuaian seperti vest dan pelitup muka sepanjang tugasan di lapangan.