KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada 36 warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti militan di negara ini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, beberapa individu lagi masih ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rangkaian militan tersebut.
"Setakat ini kita menahan 36 warga asing iaitu Bangladesh... ada yang kita simpan dan kita tahan di bawah SOSMA.
"Selebihnya kita telah usir keluar dan beberapa lagi masih lagi dalam tahanan serta memerlukan siasatan lanjut," katanya ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sini, pada Isnin.
Mohd Khalid berkata, satu sidang akhbar akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara terperinci hasil siasatan dan status kesemua individu terbabit.
"Esok atau lusa saya akan panggil sidang akhbar untuk kita semua menjelaskan kedudukan perkara yang sebenar," katanya.
Pada Ahad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam satu rangkaian militan berkaitan warga Bangladesh, seperti yang didedahkan baru-baru ini.
Beliau dilaporkan berkata, hasil siasatan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), kumpulan yang membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Daesh ke dalam negara itu melibatkan warga Bangladesh sahaja.
Baru-baru ini, Saifuddin Nasution mendedahkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Beliau berkata, penahanan itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.