SEPANG – Seramai 12 warga Indonesia, termasuk seorang tekong darat, ditahan dalam Op Nyah Taring 1 oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih di Jalan Besar, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Amanjit Singh berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 6 pagi itu menahan sepuluh lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai ingin pulang ke negara asal melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
"Hasil siasatan lanjut, seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai sebagai tekong darat (transporter) turut ditahan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Amanjit berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda CR-V serta sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM120,350.
"Kesemua individu dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/1963.
"Masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," ujarnya.