AKPS sita barangan pertanian RM17,403 cuba diseludup dari Thailand

Iklan
Pelbagai barangan pertanian cuba diseludup dari Thailand disita.

RANTAU PANJANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menumpaskan cubaan menyeludup 2.09 tan pelbagai barangan pertanian tanpa permit yang sah dan tanpa perakuan dengan nilai sitaan sebanyak RM17,403.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan barangan pertanian dari Thailand itu merangkumi halia, lengkuas, kubis, ubi kemili, pisang, limau dan serai.

Iklan
Iklan

"Keseluruhan barangan telah disita untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

"Kesalahan berkaitan ialah pengimportan tanpa Permit Import MAQIS di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut kenyataan itu, untuk rekod sehingga Ahad, AKPS Rantau Panjang telah mencatatkan jumlah rampasan pelbagai barangan dan kesalahan di bawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Akta 860) serta akta berkaitan bernilai RM96,068.

"AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan makanan, pematuhan undang-undang serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, khususnya di pintu masuk sempadan negara.

Iklan

"Kerjasama erat bersama agensi teras akan terus diperkukuh bagi membanteras sebarang cubaan membawa masuk barangan yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Orang awam dan pihak industri turut disaran agar memastikan semua dokumentasi import, khususnya berkaitan pensijilan halal dan keselamatan makanan adalah lengkap, sah dan selaras dengan peraturan semasa.