Isu saham Azam Baki: ABIM tuntut kerajaan tubuh RCI, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Iklan
Ahmad Fahmi

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diberi kuasa jelas untuk menyiasat dakwaan rangkaian 'mafia korporat' melibatkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tuntutan tersebut susulan suruhanjaya itu tidak boleh menyiasat kepimpinan tertingginya sendiri, sekali gus memerlukan mekanisme bebas bagi memastikan ketelusan dan keadilan.

Iklan
Iklan

"Mana mana pegawai kanan yang dinamakan atau mempunyai kaitan langsung perlu direhatkan sementara demi memulihkan keyakinan awam.

"Reformasi institusi SPRM mesti dipercepat, termasuk proses pelantikan, semak imbang Parlimen, pengisytiharan aset dan had tempoh jawatan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, agensi berita Bloomberg dalam laporannya mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam ketika sidang media baru-baru ini menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menegaskan, isu tersebut bukan sekadar persoalan konflik kepentingan individu, malah menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti institusi, negara hukum serta keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi.

Justeru beliau mengingatkan bahawa sekiranya dakwaan seperti itu dibiarkan tanpa tindakan tegas, Malaysia berisiko menjadi negara yang mana undang undang boleh dimanipulasi oleh jaringan kuasa gelap selain institusi anti rasuah hilang wibawa.

"ABIM menyeru semua pihak untuk bermuhasabah. Negara ini tidak boleh diselamatkan dengan retorik dan hanya boleh dipulihkan dengan amanah, keberanian dan reformasi sebenar," katanya.