KUALA LUMPUR - Trend penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah membimbangkan.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh berkata, penggunaan vape sudah menjadi satu kebiasaan sehingga ada peranti vape yang dijadikan koleksi khas.
"Penjualan peranti dan cecair vape secara meluas termasuk secara dalam talian memberi akses kepada remaja untuk membelinya walaupun larangan sudah dikuatkuasakan ke atas pengguna bawah 18 tahun," katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.
Fisol berkata, masalah pelajar membawa vape ke sekolah dan realitinya sukar diperiksa oleh guru kerana ia senang disimpan dan bersaiz kecil.
“In lah yang kita lihat sekarang, jadi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan libatkan bersama (untuk penguatkuasaan),” katanya.
Menurutnya, selain penguatkuasaan pihaknya turut menekankan aspek bahaya penggunaan rokok elektronik kepada remaja yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan mereka.
"Aspek bahaya penggunaan rokok elektronik juga ditekankan oleh pihak KKM khususnya ke atas remaja terutama membabitkan cecair yang mengandungi bahan dadah sintetik," katanya.
Beliau berkata, perlu tindakan bersepadu penguatkuasaan untuk mengekang penularan dan media diminta menekankan berkaitan risiko vape kepada remaja.
“Kerjasama agensi dan masyarakat penting untuk menangani isu ini,” katanya.