BAGAN DATUK – Sekumpulan penduduk bertungkus-lumus membuka sebuah peti besi yang ditemui di sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini pada Sabtu.
Peti besi milik seorang nelayan, Chan Keng Hoe, 53, itu ditemui di bahagian bilik tidur rumahnya meskipun tertimbus di bawah runtuhan bumbung.
Keng Hoe berkata, usaha selama lebih sejam menggunakan pelbagai peralatan akhirnya membuahkan hasil apabila peti tersebut berjaya dibuka dan di dalamnya terdapat dokumen penting serta barang kemas yang masih elok.
“Awalnya saya bimbang barangan dalam peti besi turut hangus, namun saya menarik nafas lega sebaik membukanya apabila semuanya masih selamat, cuma basah.
“Saya akan bawa ke rumah adik untuk mencuci dan mengeringkan semula dokumen ini. Barangan berharga yang ada ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mengulas kejadian tersebut, Keng Hoe berkata, beliau reda apabila rumah yang didiaminya sejak empat dekad lalu musnah dalam kebakaran yang turut membabitkan 22 premis lain di kawasan berkenaan.
Meskipun sedih dengan kejadian itu, beliau bersyukur kerana semua lapan ahli keluarganya selamat dalam insiden berkenaan.
Sementara itu, Chan Huan Han, 40, berkata, walaupun rumahnya tidak terjejas, beliau tidak menyangka kebakaran yang bermula dari rumah jiran telah memusnahkan sebahagian besar kawasan kampung.
“Semua penduduk panik apabila api cepat merebak dan kebanyakan mereka hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang.
“Apabila api marak menghampiri rumah, saya mengambil langkah membasahkan dinding menggunakan aliran paip,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Nazrul Fazami Mohamad berkata, bantuan awal telah digerakkan melibatkan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan bagi menentukan jumlah sebenar penduduk yang terjejas, melibatkan 19 rumah, tiga premis dan sebuah tokong.
“Tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian ini namun keseluruhan rumah penduduk terbakar antara 70 hingga 80 peratus.
“Bancian sedang dilakukan dan mangsa diminta membuat laporan polis bagi tujuan dokumentasi serta penyediaan peruntukan bencana peringkat negeri,” katanya.
Nazrul Fazami menambah, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini memandangkan hasil perbincangan bersama wakil penduduk memutuskan bahawa mangsa akan menumpang di rumah saudara atau kenalan berhampiran.