21 rumah, kedai makan musnah terbakar

Keadaan rumah milik penduduk di Bagan Pasir Laut musnah terbakar dalam kejadian awal pagi Sabtu. Foto ihsan Bomba Perak
Keadaan rumah milik penduduk di Bagan Pasir Laut musnah terbakar dalam kejadian awal pagi Sabtu. Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

BAGAN DATUK - Sebanyak 23 rumah dan premis terbakar dalam kejadian di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada jam 4.52 pagi.

Menurut beliau, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dan Teluk Intan telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan bomba pada jam 5.07 pagi, api telah marak membakar lebih lima premis.

"Keadaan rumah yang dibina rapat dan tekanan air dari pili bomba agak rendah menyebabkan api merebak dengan pantas," katanya di sini.

Sabarodzi berkata, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang dan berjaya mengawal api sekitar jam 7.30 pagi dan operasi tamat pada jam 10.45 pagi.

"Operasi dijalankan penuh berhati-hati apabila anggota berisiko terkena renjatan berikutan bekalan elektrik masih berfungsi ketika kerja-kerja pemadaman dijalankan.

"Kejadian itu menyebabkan 21 rumah, sebuah kedai makan dan sebuah tokong terbakar. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Jelas beliau, peratusan kemusnahan kebakaran masih dalam penilaian berikutan operasi pemadaman masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!