PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di 13 negeri sehingga pukul 7 malam ini.
Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan bahawa cuaca buruk tersebut diramal melanda beberapa kawasan di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk seluruh negeri Perlis dan beberapa daerah utama di Kedah seperti Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Di Pulau Pinang pula, keadaan cuaca sama diramal melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Di Perak, hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku di daerah Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim. Sementara itu, di Kelantan, fenomena tersebut dijangka menjejaskan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli dan Tanah Merah. Dua daerah di Terengganu yang turut dijangka menerima kesan ialah Besut dan Setiu.
Bagi negeri Pahang, kawasan yang terlibat ialah Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Temerloh, Pekan dan Rompin. Negeri Selangor pula mencatat amaran ribut petir di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, manakala seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut berada dalam lingkungan cuaca tidak menentu itu.
Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu, manakala di Johor, kawasan Mersing diramal mengalami keadaan cuaca buruk yang sama.
Di Sarawak, MetMalaysia menyenaraikan kawasan terlibat seperti Bau dan Kuching di bawah bahagian Kuching, Selangau di bawah Sibu, Mukah serta Tatau di bawah Bintulu.
Sabah pula melibatkan kawasan Pedalaman termasuk Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan, selain Ranau di Pantai Barat dan Sandakan.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan, terutamanya risiko banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur ringan yang lazim berlaku susulan keadaan cuaca ekstrem.
MetMalaysia juga menyarankan agar orang awam merujuk laman web rasmi dan saluran media sosial agensi itu untuk maklumat terkini berkaitan amaran cuaca.