SHAH ALAM - Tiada jemaah umrah di bawah pengurusan syarikat Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) terkandas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), sebaliknya penerbangan yang sepatutnya bertolak pada 9.30 pagi Rabu telah ditunda dan dijadualkan semula.
Pengurusan Tertinggi Andalusia berkata, penjadualan semula QR858 membabitkan seramai 22 jemaah dilakukan Qatar Airways atas faktor teknikal berkaitan laluan ruang udara.
Bagaimanapun jelas Andalusia, Qatar Airways sekali lagi melakukan perubahan jadual penerbangan pada jam 2.55 pagi, sebaik sahaja ia disahkan selamat untuk terbang semula.
"Selaras dengan itu, kami juga ingin merujuk kepada kenyataan rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar yang telah dikeluarkan pada Rabu, mengesahkan bahawa 'ruang udara Qatar telah dibuka semula'.
"Justeru, perjalanan udara telah kembali beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada pengesahan semasa oleh syarikat penerbangan masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan puluhan jemaah umrah terkandas di KLIA disebabkan negara Arab bertindak menutup ruang udara susulan konflik Iran-Israel.
Dalam kenyataan sama, pengurusan tertinggi Andalusia berkata, pihaknya kekal komited menjaga amanah dan kebajikan jemaah serta memastikan ibadah umrah berlangsung dengan lancar dan selamat.
"Insya-ALLAH, semua pergerakan jemaah dan perkhidmatan yang kami sediakan akan dikendalikan dengan penuh teliti.
"Buat masa ini, kami sentiasa berhubung rapat dan sentiasa berkomunikasi dengan semua syarikat penerbangan dan pihak Kementerian Pelancongan untuk sentiasa mendapat berita terkini dari masa ke semasa," katanya.
Sehubungan itu Andalusia mengambil langkah proaktif dengan menyediakan penginapan sementara kepada jemaah terlibat termasuk makanan dan sokongan logistik sepanjang tempoh menunggu.
"Kami juga menyediakan saluran komunikasi langsung kepada semua jemaah dan waris dan memastikan tiada jemaah terabai atau terkesan secara negatif sepanjang proses," katanya.