SHAH ALAM- World Social Security Forum (WSSF) 2025 anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) akan menumpukan aspek cabaran dan peluang akibat perubahan demografi global, pasaran buruh yang dinamik, kemajuan teknologi serta usaha ke arah kelestarian.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan berkata, forum tersebut bakal menjadi platform strategik bagi meneroka idea, futuristik dan inovasi dalam memperkasa sistem keselamatan sosial agar lebih relevan, inklusif serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global masa kini.
Menurutnya, dengan mengangkat tema ‘Shaping Social Security for a World in Transition’, Malaysia sekali lagi akan menjadi tumpuan apabila menghimpunkan pemimpin, pakar dan institusi dari seluruh pelosok dunia untuk membincangkan cabaran keselamatan sosial.
Acara berprestij tersebut akan berlangsung selama lima hari iaitu bermula 29 September hingga 3 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Forum edisi kali ini membincangkan perubahan demografi global, pasaran buruh, kemajuan teknologi dan usaha ke arah kelestarian yang kesemuanya membentuk masa depan sistem keselamatan sosial.
“Perkongsian pandangan daripada tokoh-tokoh antarabangsa dan pelopor keselamatan sosial amat bernilai, malah mampu menjadi pemangkin kepada reformasi sistem sosial yang bukan sahaja melindungi, tetapi juga memperkasa dan mengukuhkan daya tahan komuniti.
“Forum ini dijangka dihadiri lebih 1,500 delegasi daripada 336 organisasi ahli ISSA merangkumi 164 negara, termasuk menteri, barisan ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal dan wakil daripada organisasi antarabangsa,” katanya pada Isnin.
Forum tersebut turut mendapat kerjasama PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) selaku sekretariat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).
Mengulas lanjut, menurut PERKESO, antara program yang akan berlangsung adalah rencaman sesi plenari dengan lebih 80 sesi interaktif, bengkel panel, sesi tutorial dan Zon Inovasi ISSA.
Menerusi program tersebut, ia akan menjadikan forum itu satu pengalaman holistik dalam perkongsian ilmu selain memupuk kerjasama antarabangsa.
Tambahnya, penganjuran forum tersebut turut mengukuhkan usaha dalam memperkemas sistem perlindungan sosial negara, selain mempertingkatkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik global dalam agenda kesejahteraan sejagat.
“Ia juga membuka peluang unik untuk Malaysia mengetengahkan dasar dan inisiatif keselamatan sosial di pentas dunia,” ujarnya.
Buat julung kalinya, Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa akan diperkenalkan bagi menonjolkan usaha dalam mempromosikan keselamatan sosial.
Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA akan disampaikan kepada negara yang mempamerkan kejayaan luar biasa dalam memperkukuh sistem keselamatan sosialnya.