Selangor teliti tuntutan RM1.6 juta kolam takungan pecah di Taman Seri Alam

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 16 Jun berkenaan penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama menghantar surat tuntutan kepada pihak pemaju dan kerajaan negeri bagi menuntut ganti rugi berikutan insiden kolam takungan berhampiran kawasan perumahan mereka pecah sejak tahun 2015.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meneliti secara menyeluruh tuntutan ganti rugi berjumlah RM1.6 juta oleh penduduk Taman Seri Alam, Saujana berhubung insiden kolam takungan berhampiran kediaman mereka yang pecah sejak 2015.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini beliau masih belum meneliti surat tuntutan (LOD) itu kerana berada di luar negara bagi menghadiri Pameran Udara Paris dan misi pelaburan negeri di Perancis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan LOD itu telah dihantar kepada pejabat penasihat undang-undang negeri (LA), namun belum melihatnya.

"Tetapi kita akan melalui proses sewajarnya kerana ini bukan kali pertama perkara sebegini berlaku.

Iklan

"Kita akan teliti ikut proses perundangan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan APS Asia Pacific di Seksyen U10 di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau dimaklumkan hanya sebahagian kecil penduduk terlibat dalam tuntutan terbabit.

Bagaimanapun ujar beliau, pihak kerajaan negeri tetap mengambil maklum dan meneliti perkara tersebut dengan penuh tanggungjawab.

Mengulas mengenai kemungkinan tindakan undang-undang sekiranya kerajaan negeri tidak memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu, Amirudin menjelaskan, perkara itu sebahagian daripada prosedur biasa dalam perundangan.

"Kita tidak ada masalah kerana berpegang kepada prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang). Jadi kita akan hormat dan lalui proses itu sebaiknya," tambah beliau.

Sinar Harian pada 16 Jun lalu melaporkan, penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama akan menghantar surat tuntutan kepada pihak pemaju dan kerajaan negeri bagi menuntut ganti rugi berjumlah kira-kira RM1.6 juta berikutan insiden kolam takungan berhampiran kawasan perumahan mereka pecah sejak tahun 2015.

Peguam yang mewakili penduduk, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, LOD tersebut dijangka dihantar dalam masa terdekat.

Seramai 28 penduduk taman perumahan itu terlibat dalam tindakan undang-undang berkenaan.