SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan Malaysia menguatkan kerjasama dengan negara yang mempunyai pendirian sehaluan atau ‘like-minded countries’ dalam menangani campur tangan Amerika Syarikat (AS) terhadap peperangan Iran-Israel secara adil dan saksama.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN juga menuntut kerajaan agar lebih tegas dan lantang menyatakan pendirian dengan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang bagi menghentikan tindakan Israel dan AS di samping menegakkan undang-undang antarabangsa.
“Israel bertindak sebagai pengganas dengan melakukan genosid ke atas Palestin, kemudiannya menyerang Iran.
“Manakala tindakan AS menyerang beberapa lokasi strategik Iran malam tadi, mengeruh dan menyemarakkan lagi ketegangan di Asia Barat serta berisiko menjadi tidak terkawal.
“Tindakan ketenteraan unilateral oleh mana-mana kuasa besar dunia, termasuk AS, bukan sahaja menyalahi prinsip undang-undang antarabangsa, tetapi juga mengheret rantau Asia Barat ke arah konflik berskala besar yang mengancam keselamatan jutaan nyawa, termasuk rakyat awam tidak berdosa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, AS menggugurkan enam bom"bunker buster" ke atas kemudahan nuklear Fordo dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu krus dari kapal selam ke atas dua tapak lain dalam serangan menyasarkan program nuklear Iran, lapor Anadolu Agency (AA) memetik Fox News.
Menurut laporan itu, Presiden AS, Donald Trump memperincikan serangan berkenaan kepada hos TV Sean Hannity, dengan berkata, setiap bom bunker buster seberat 15 tan digugurkan dari pesawat pengebom"stealth" B-2 Amerika.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, serangan tersebut dilihat sebagai agenda berterusan geopolitik AS yang memihak secara membuta tuli kepada Israel walaupun dunia menyaksikan pencabulan hak asasi kemanusiaan yang berterusan oleh rejim Zionis itu di Palestin.
“PN mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan Israel dan AS ke atas Iran.
“Dalam keadaan sekarang, Iran mempunyai sepenuhnya hak untuk bertindak balas dan mempertahankan diri daripada keganasan mana-mana negara,” ujarnya.