KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bersetuju untuk mempertingkat kerjasama strategik dalam menyelaras pelaksanaan inisiatif serta program berkaitan pencegahan dan pendidikan rasuah di negara ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kerjasama tersebut melibatkan perbincangan antara Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) dan Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM dengan IIM.
Menurut beliau, usaha ini bertujuan merangka program yang tidak bertindih dan memperkukuh peranan masing-masing dalam bidang pendidikan serta pencegahan rasuah.
“Sekiranya IIM mempunyai sebarang isu untuk dibawa ke Jawatankuasa Tatakelola (JTK), ia boleh dirujuk kepada Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) SPRM.
“Selain itu, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dan Bahagian Komunikasi Strategik dan Bitara IIM juga boleh mengadakan perbincangan bersama bagi meningkatkan persepsi masyarakat terhadap integriti dan pencegahan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam sesi Perbincangan Meja Bulat Penyelarasan Sektor Pencegahan SPRM dan IIM di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Tuan Haji Rahman Mohd Din menyambut baik cadangan yang dikemukakan SPRM dan menyatakan komitmen pihaknya untuk menjalin kolaborasi ke arah memperkasakan inisiatif pencegahan rasuah secara lebih berkesan.
Menurut beliau, usaha tersebut perlu seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang memerlukan pendekatan kreatif dan memberi impak lebih meluas kepada masyarakat.
Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah pengarah-pengarah bahagian SPRM serta pengarah-pengarah bahagian dan sektor IIM.