SHAH ALAM – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengambil langkah proaktif untuk menangani isu perpaduan dalam kalangan rakyat dengan memperkenalkan saluran aduan digital dikenali sebagai Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN).
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sistem yang dibangunkan secara dalam talian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu membolehkan orang ramai membuat aduan secara terus dan mendapat maklum balas melalui kaedah lebih responsif serta masa nyata.
Menurutnya, sistem ini dapat memperkukuh pengurusan maklumat serta respons terhadap aduan termasuk isu sensitif seperti kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Sistem ini berbeza dengan saluran aduan lain kerana ia menggunakan proses digital mesra pengguna, keupayaan respons masa nyata serta jaminan perlindungan identiti pengadu.
“Gabungan elemen ini memberi keyakinan kepada orang ramai untuk tampil menyuarakan aduan mereka secara selamat dan bertanggungjawab serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Ia memperkasa komuniti untuk menjadi mata dan telinga kepada usaha menjaga keharmonian nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 serta pelancaran sistem RAKAN di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada Khamis.
Tambah Aaron, pengguna juga boleh mengakses statistik aduan mengikut negeri dan kategori, tertakluk kepada tahap akses yang ditetapkan, bagi membolehkan tindakan komuniti dilaksanakan secara terarah dan berpandukan data semasa.
“Pelancaran sistem ini merupakan salah satu inisiatif bagi mendekatkan rakyat dengan kerajaan dalam memperkasa komuniti terhadap usaha menjaga keharmonian nasional, selain membudayakan tanggungjawab sosial terhadap isu sensitif,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Aaron, KPN turut menyasarkan peningkatan skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kepada 0.70 pada tahun ini berbanding 0.629 pada 2022, yang masih berada dalam julat tahap perpaduan baik dan terkawal.
Beliau berkata, pelbagai usaha seperti dialog komuniti, program integrasi pelbagai kaum serta pemerkasaan peranan akar umbi terus dipergiatkan bagi mencapai sasaran tersebut.
“Meningkatkan skor IPNas bukan semata-mata soal statistik, tetapi memperkukuh asas sosial negara kita daripada tahap persepsi hingga ke tindakan,” katanya.