KLUANG – Sebanyak 38 buah Sekolah Dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bakal melaksanakan program digitalisasi sepenuhnya secara berperingkat bermula tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata inisiatif tersebut merupakan usaha Kementerian Pertahanan dalam membudayakan penggunaan teknologi kreatif dalam kalangan anak-anak warga kerja pertahanan (WKP).
Menurutnya, tiga buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek rintis, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di Kluang, SK Kementah dan SK TUDM Subang.
“Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan murid yang fasih digital bagi memenuhi tuntutan era digital, di samping mengupayakan para pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi dalam ekosistem pembelajaran.
“Ia turut memperkukuh infrastruktur dan kandungan pendidikan digital serta mengoptimumkan penglibatan rakan strategik sebagai pemangkin kepada pendidikan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem di SK Sultan Sir Ibrahim pada Selasa.
Adly menambah, pelaksanaan peringkat awal tahun ini melibatkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Affin Bank Berhad.
Tambahnya lagi, baki 35 buah sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan selepas menilai keberkesanan fasa perintis.
“Inisiatif ini adalah antara langkah memperkukuh ekosistem kesejahteraan selaras dengan agenda nasional termasuk Membangun Negara MADANI dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
“Kementerian juga akan meneliti perkembangan serta maklum balas daripada pihak sekolah untuk penambahbaikan program,” katanya.