Menurut beliau, dakwaan kononnya kementerian itu akan dimansuhkan adalah tidak berasas.
“Kementerian Ekonomi diwujudkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdahulu selepas Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang sebelum ini beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri, diperkukuh peranannya sebagai sebuah kementerian penuh.
“Tiada isu kementerian ini tidak berbakat kerana yang menentukan hala tuju ialah Kementerian Ekonomi dan saya sendiri.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk dirombak buat masa ini,” katanya ketika ditemui media pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Isnin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli atas perkhidmatan cemerlang sejak memegang portfolio berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya ucapkan selamat kepada saudara Rafizi yang telah berkhidmat dengan begitu baik sebagai Menteri Ekonomi. Sebarang pengganti atau keputusan akan dibuat mengikut masa yang sesuai,” katanya.
Menyentuh mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Anwar menjelaskan bahawa ia masih dikendalikan oleh EPU selaku sekretariat utama yang mengumpul pandangan daripada pelbagai kementerian sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“RMK13 ini adalah kerja Jemaah Menteri. Sekretariatnya ialah EPU. Banyak perubahan berlaku terutama dengan keadaan ekonomi semasa, jadi angka dan dasar turut disesuaikan,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Anwar memaklumkan bahawa tempoh cuti bekas Naib Presiden PKR itu akan tamat dalam minggu ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini, dan kerajaan masih memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk menyambung tugasnya.
“Saya masih menunggu dan beri peluang. Kalau boleh, teruskan khidmat. Tapi tarikhnya belum sampai,” katanya ringkas.