PETALING JAYA - Sebanyak 1,194 kes demam denggi dilaporkan di Petaling Jaya bagi tempoh Januari hingga awal Jun tahun ini dengan 19 lokaliti wabak dikenal pasti termasuk dua yang diklasifikasikan sebagai titik panas.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, jumlah kes itu mencatatkan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurutnya, daerah Petaling merupakan antara kawasan dengan kes tertinggi di Selangor, manakala Damansara Damai dikenal pasti sebagai penyumbang utama kes di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Katanya, terdapat 15 kelompok perumahan bertingkat merangkumi 14,477 unit kediaman dengan kepadatan penduduk yang tinggi menjadi faktor risiko penularan denggi di kawasan berkenaan.
"Sebanyak 480 kes telah direkodkan di Damansara Damai pada 2024, berbanding 98 kes setakat awal Jun tahun ini. Apartment Idaman pula mencatatkan jumlah tertinggi dengan 73 kes pada 2024 dan 24 kes hingga Mei 2025.
"Meskipun terdapat penurunan, MBPJ menegaskan bahawa aktiviti kawalan perlu diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah peningkatan semula wabak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN 2025 yang diadakan di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan dan Timbalan Pengarah Kesihatan (MBPJ), Mahzura Mohd Amin.
Untuk rekod, program yang berlangsung merupakan antara 31 pengisian MBPJ sempena sambutan ulang tahun ke-19 dengan acara kemuncak akan diadakan pada 21 Jun ini di Menara MBPJ.
Mengulas lanjut, Mohamad Zahri berkata, program yang menghimpunkan penyertaan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat itu sebagai salah satu usaha untuk memperkukuh kesedaran dalam membanteras penularan denggi.
Jelasnya, antara pengisian program termasuk ceramah kesedaran denggi, aktiviti mencari harta karun, senamrobik, saringan kesihatan, pertandingan mewarna, pameran agensi kerajaan dan NGO, Eco Free Market, pertandingan kutipan sampah terbanyak serta pembelian minyak masak terpakai.
"Aktiviti ini bukan sahaja menyampaikan mesej berkaitan kesihatan dan kebersihan, malah turut menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam memelihara persekitaran yang sihat dan selamat.
"Usaha membanteras wabak denggi bukan hanya tanggungjawab PBT semata-mata tetapi memerlukan kesedaran, kerjasama dan tindakan berterusan daripada seluruh komuniti," ujarnya.
Tambah Mohamad Zahri, antara inisiatif utama MBPJ termasuk penubuhan Pasukan SEDAR yang digerakkan di kawasan berisiko tinggi dan kerjasama strategik dengan Pasukan COMBI di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dianggotai sukarelawan komuniti.
"Kedua-dua pasukan ini memainkan peranan penting dalam pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pencegahan di peringkat akar umbi," katanya lagi.