Tangguh SST diperluas, risau harga naik - FMBA

Iklan
Abdul Malik
SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menyarankan kerajaan mempertimbangkan semula dan menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas, dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, walaupun pihaknya mengiktiraf objektif fiskal kerajaan, namun mereka bimbang akan kesan negatif terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengguna serta kadar inflasi negara.

Antara kebimbangan yang disuarakan pihaknya termasuk beban kos meningkat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kesan rantaian negatif kepada pengguna dan kos sara hidup serta cabaran pematuhan dan pelaksanaan.

Iklan
Iklan

“SST yang diperluas kini meliputi lebih banyak barangan dan perkhidmatan termasuk sewaan, pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan, dengan kadar cukai baharu antara lima peratus hingga 10 peratus (barangan bukan keperluan terpilih) dan enam peratus hingga lapan peratus untuk perkhidmatan tambahan.

“Walaupun sesetengah barangan asas masih dikecualikan, cukai ke atas bahan mentah dan barangan perantaraan pasti akan meningkatkan harga runcit, seterusnya mencetuskan inflasi kos.

Iklan

“Bagi cabaran pematuhan dan pelaksanaan pula, ramai PKS tidak bersedia untuk rejim cukai yang diperluas ini, dengan masa dan panduan yang tidak mencukupi untuk memastikan pematuhan. Risiko ketidakpatuhan tidak sengaja adalah tinggi walaupun kerajaan memberikan tempoh kelonggaran sehingga Disember 2025,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan mengambil pendekatan bersasar dalam pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan (CJ) serta memperluaskan skop Cukai Perkhidmatan (CP) bagi memastikan orang ramai tidak terbeban dengan pelaksanaan cukai tersebut bermula 1 Julai ini.

Iklan

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan semula cukai berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.

Dalam pada itu, Abdul Malik berpandangan sistem SST yang berlapis akan mengganggu harga di sepanjang rantaian bekalan dan mengurangkan daya saing eksport Malaysia.

Katanya, pendekatan itu berbeza dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang lebih efisien dan teratur.

“Jadi, FMBA menggesa penangguhan segera pelaksanaannya sehingga penilaian impak ekonomi yang menyeluruh dijalankan dengan konsultasi bermakna melibatkan semua pihak berkepentingan, terutama PKS dan kumpulan pengguna.

“Kami juga mencadangkan agar ambang pendaftaran SST dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM2 juta atau supaya PMKS dikecualikan. Ini akan memberi kelegaan kepada perniagaan paling terkesan untuk menyokong pemulihan mereka di tengah ketidaktentuan ekonomi semasa.

“Terakhir, luaskan atau perjelaskan pengecualian untuk barangan penggunaan tinggi dan peralatan modal, terutamanya bagi PKS, serta kenakan kadar sifar atau pengecualian bagi barangan dan perkhidmatan asas B40 dan M40,” ujarnya.

Tambah Abdul Malik, pihaknya berdiri bersama PKS, usahawan dan pengguna Malaysia dalam merayu pendekatan seimbang terhadap reformasi fiskal.

“Kami menggesa kerajaan mengutamakan daya tahan ekonomi, kelestarian perniagaan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dengan menangguhkan SST yang diperluas serta mengadakan dialog tulen untuk menangani kebimbangan wajar komuniti perniagaan.

“Kami juga komited untuk terus bekerjasama secara konstruktif dan berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan demi kemakmuran bersama untuk Malaysia,” ulas beliau.