KLANG – Penduduk Kampung Raja Uda menyuarakan bantahan terhadap cadangan pembinaan sebuah bangunan memorial empat tingkat yang dipercayai mengandungi kemudahan krematorium di kawasan berhampiran kediaman mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, tapak cadangan pembinaan yang terletak berhampiran rumah penduduk dan sebuah tokong itu menimbulkan kebimbangan berhubung sensitiviti budaya dan keharmonian masyarakat setempat.
Menurutnya, cadangan tersebut juga berpotensi menyusutkan nilai hartanah jika diteruskan.
“Kediaman sebelah rumah mayat, siapa hendak tinggal? Bukan sahaja orang Melayu, malah kaum Cina dan India juga tidak bersetuju,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), di sini, pada Rabu.
Tambahnya, Kampung Raja Uda mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana ditubuhkan sejak 1953 sebagai penempatan pekerja pelabuhan, penjawat awam, warga pendidik dan kerabat diraja. Nama kampung itu juga dinamakan sempena Tun Dr Raja Uda, Menteri Besar Selangor yang pertama.
“Kita bukan membantah secara emosi, tetapi dari segi teknikal tanah itu adalah zon perumahan. Dalam Rancangan Tempatan MBDK 2035 pun tiada peruntukan untuk aktiviti seperti ini. Ini bukan soal suka atau tidak, tetapi isu pematuhan kepada garis panduan,” jelasnya.
Azmizam mengakui pemaju telah mematuhi proses undang-undang dengan menaikkan notis cadangan di tapak sejak 23 Mei lalu, namun menegaskan bahawa penduduk mempunyai hak untuk membantah dalam tempoh 21 hari yang akan berakhir pada Khamis.
“Kalau kita diam, bermakna kita setuju. Tapi hari ini kita suarakan bantahan, malah penduduk kampung hadir beramai-ramai,” katanya.
Antara kebimbangan utama penduduk termasuk gangguan keselesaan, sensitiviti budaya serta isu keselamatan, memandangkan kawasan tersebut turut berdepan dengan masalah lumba haram sejak sekian lama.
Azmizam turut berharap pihak MBDK mempertimbangkan suara rakyat dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan yang melibatkan isu sensitif.
“Jangan rosakkan keharmonian yang telah dibina puluhan tahun. Kampung ini bukan sekadar tanah, ia adalah warisan yang perlu dipelihara,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Klang, Zainury Zainal menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak sesuai memandangkan kawasan itu mempunyai nilai sentimental tinggi kepada umat Islam yang telah lama menetap di situ.
“Kita bukan sekadar bercakap soal pembangunan, tetapi soal kesejahteraan rakyat. Jangan hanya fikir keuntungan, perlu juga lihat kesan jangka panjang kepada masyarakat,” ujarnya.
Zainury menambah, penyatuan masyarakat di Kampung Raja Uda telah lama terjalin dan pembangunan bersifat komersial seperti ini boleh mengganggu keharmonian tersebut.
“Saya sendiri pernah bersekolah rendah di sini. Kami hidup seperti keluarga besar. Jangan musnahkan keharmonian ini demi projek yang tidak mendapat sokongan penduduk,” tegasnya.
Menurutnya, notis pembinaan dan papan tanda projek telah mula dipasang walaupun belum mendapat maklum balas penuh daripada masyarakat setempat.
Nazir Masjid Kampung Raja Uda, Ismail Arsat pula berkata, beliau mewakili lebih 200 penduduk yang telah menandatangani bantahan terhadap projek berkenaan.
“Saya tinggal berdekatan dengan tapak memorial itu. Jika ia dibina, saya perlu menghadapnya setiap hari,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kawasan tersebut padat dan berhampiran pelbagai kemudahan awam termasuk Sekolah Rendah Agama, Sekolah Kebangsaan Kampung Raja Uda, kompleks sukan, klinik kesihatan dan beberapa institusi pendidikan lain.
“Penduduk pelbagai kaum semuanya menolak pembinaan ini. Ini menunjukkan bantahan adalah menyeluruh dan bukan bersifat perkauman,” katanya.
Ismail juga menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan nama ‘Raja’ yang menurutnya sinonim dengan kawasan tersebut.
“Nama ‘Raja’ itu sangat mulia. Jika memorial ini dibina, ia akan mencemarkan kemuliaan nama itu,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa meskipun aspek teknikal telah dijelaskan oleh pihak berkuasa, sensitiviti dan kesesuaian lokasi perlu menjadi keutamaan.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd Zahry Affendi Mohd Arif berkata, cadangan pembinaan memorial itu masih belum diluluskan dan kini berada di peringkat awal proses perancangan.
Menurutnya, pihaknya menerima beberapa siri bantahan termasuk satu penyerahan besar selepas solat Jumaat minggu lalu.
“Bantahan bukan kali pertama. Kita sudah mula terima sejak minggu lepas dengan wakil penduduk menyerahkan dokumen bantahan yang telah kami terima dan ambil maklum.
“Tempoh bantahan masih dibuka sehingga esok (Khamis),” katanya.
Tambah beliau, proses ini adalah sebahagian daripada prosedur standard bagi mana-mana cadangan pembangunan.
“Setiap pemaju diwajibkan mempamerkan notis selama 21 hari dan selepas itu, kita akan adakan mesyuarat bantahan melibatkan wakil penduduk dan pemaju bagi mendengar hujah kedua-dua pihak secara adil,” jelasnya.
Mohd Zahry turut memaklumkan bahawa lokasi tapak cadangan memorial itu telah digazetkan sebagai zon komersial berdasarkan Rancangan Tempatan MBDK.
“Memang betul lokasi itu zon komersial mengikut pelan kita dan pemaju membuat permohonan berdasarkan peruntukan tersebut.
“Tetapi kelulusan belum diberikan kerana ia masih di peringkat cadangan dan penduduk masih boleh membantah,” katanya.
Beliau berkata, selepas mesyuarat bantahan selesai, hasil perbincangan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Setempat (OSC) untuk pertimbangan lanjut.
“Kita akan nilai semua aspek termasuk sosial, sensitiviti penduduk, lalu lintas, zon penempatan dan sebagainya sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” ujarnya.
Padamasa sama, beliau turut menggesa semua pihak menyuarakan pandangan secara berhemah dan memanfaatkan saluran rasmi yang disediakan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk kerana menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan bantahan, bagi membolehkan kami menjalankan proses ini secara telus dan menyeluruh,” tambahnya.