Isu ternakan babi: Exco Selangor menghadap Sultan Sharafuddin Isnin depan - Amirudin

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat. Gambar kecil: Amirudin

SHAH ALAM - Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor dijadual menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin bagi menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertemuan itu turut membabitkan pembentangan langkah proaktif yang akan dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan persekitaran dan kawalan pencemaran diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu diambil susulan keprihatinan Sultan Selangor yang dizahirkan menerusi kenyataan media baginda pada Sabtu berhubung isu berkenaan.

"Sebelum ini, MMKN telah memutuskan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketatkan khususnya dari aspek pengurusan sisa bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sistem saliran dan alam sekitar.

Iklan

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan agensi teknikal serta usaha menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak belasan tahun lalu di samping menjaga sensitiviti masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Amirudin berkata, pendekatan itu selari dengan penjelasan dibuat Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim menerusi sidang media pada Khamis lalu yang menyifatkan langkah itu sebagai inisiatif lebih tersusun dan berhemah.

Iklan

Katanya, Kerajaan negeri akan terus menjunjung tinggi nasihat dan pedoman Sultan Selangor dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab, seimbang dan mengutamakan kesejahteraan rakyat serta alam sekitar.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor pada 2030.

Baginda bertitah, perancangan tersebut dipandang serius, khususnya apabila terdapat kemungkinan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Tagar.