SHAH ALAM – Kerajaan Selangor masih belum dapat melaksanakan sebarang projek pembangunan hab sukan elektronik (e-sukan) di tapak bekas Hotel Carlton, Seksyen 13, di sini berikutan beberapa isu berkaitan pentadbiran tanah dan teknikal yang masih belum diselesaikan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, setakat ini sebarang bentuk pembangunan di kawasan itu belum boleh dilaksanakan sehingga semua isu terbabit diselesaikan sepenuhnya.
"Tapak bekas Hotel Carlton itu masih berdepan beberapa isu melibatkan pentadbiran tanah dan perkara teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
"Selepas isu ini selesai barulah kita boleh mempertimbangkan sebarang pembangunan semula," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Selangor Future Cup 2025/2026 Daerah Petaling, di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Mohd Najwan menjelaskan, tapak bekas hotel itu berada di bawah pengurusan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan maklum balas lanjut mengenai status tanah itu boleh dirujuk kepada pihak berkenaan.
"Saya difahamkan terdapat beberapa permasalahan berkaitan tanah yang perlu diselesaikan bersama Pejabat Tanah dan Galian Selangor," ujarnya.
Mengulas cadangan lokasi alternatif bagi pembangunan hab e-sukan, Mohd Najwan berkata, setakat ini kerajaan negeri belum mempunyai cadangan khusus kerana tapak bekas Hotel Carlton dilihat paling strategik.
Bagaimanapun, jelasnya, bagi tujuan latihan dan pembangunan bakat atlet e-sukan, pendekatan sedia ada masih diteruskan termasuk penggunaan kemudahan 'gaming house' oleh pasukan profesional.
"Sebagai contoh, Selangor Red Giants (SRG) mempunyai gaming house sendiri yang digunakan untuk latihan serta penempatan atlet dari segi kemudahan asas, ia mencukupi buat masa ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri tetap memandang serius cadangan pembangunan hab e-sukan di Selangor dan akan menelitinya secara menyeluruh sebaik isu tapak bekas Hotel Carlton dapat diselesaikan.
Sinar Harian pada 21 Disember tahun lalu melaporkan, kerajaan Selangor didesak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status sebenar projek pembangunan hab e-sukan Selangor melibatkan pengubahsuaian bangunan hotel yang kini dibiarkan uzur dan berisiko kepada keselamatan awam di Seksyen 13 di sini.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, rakyat berhak mengetahui perkembangan sebenar sesuatu projek yang diumumkan secara rasmi dalam pembentangan bajet negeri tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Najwan menjelaskan, kawasan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk Seksyen 13 sememangnya merupakan zon pemudah cara sukan dan rekreasi.
"KSSA bukan hanya stadium semata-mata kerana keseluruhan kawasan itu termasuk Pusat Akuatik adalah sebahagian daripada kompleks sukan," ujarnya.
Beliau memaklumkan, kerja menaik taraf Pusat Akuatik KSSA kini melepasi 10 peratus kemajuan, namun kemudahan itu tidak sempat digunakan bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
"SUKMA 2026 memang tidak akan menggunakan KSSA kerana pembinaan tidak sempat disiapkan," jelasnya.