Pemuda Pas Selangor bantah ternakan babi di Tanjong Sepat

Iklan
Laporan Sinar Harian. Mohamed Sukri (gambar kecil)

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, titah baginda mencerminkan keprihatinan seorang raja berperlembagaan yang bukan sahaja berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri, malah pelindung keharmonian masyarakat, penjaga alam sekitar dan pembela kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya berpandangan kebimbangan dizahirkan Sultan Selangor sangat berasas memandangkan isu pencemaran bau dan sungai, masalah kesihatan awam serta gangguan kualiti hidup penduduk setempat di Kuala Langat bukan perkara baharu.

"Ia sudah berlarutan lebih sedekad tanpa penyelesaian tuntas, justeru tidak wajar dan tidak berhemah untuk membenarkan operasi berskala lebih besar di kawasan sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, Pemuda Pas Selangor menyokong pendirian Sultan Selangor yang menerima kewujudan penternakan babi secara kecil dan terkawal bagi keperluan tempatan kaum bukan Islam, namun menegaskan perancangan berskala besar apatah lagi berorientasikan eksport adalah tidak seimbang dan tidak sensitif.

"Perancangan sedemikian mencabar realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya Melayu Islam," ujar beliau.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya turut memandang serius kebimbangan Sultan Selangor mengenai kemungkinan wujud konflik kepentingan, ketirisan tadbir urus atau unsur rasuah dalam perancangan dan kelulusan projek berkenaan.

Katanya, isu sebesar itu tidak wajar diputuskan secara tergesa-gesa, tertutup serta tanpa libat urus menyeluruh bersama rakyat setempat.

Sehubungan itu, Mohamed Sukri menggesa kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari menjadikan titah Sultan Sharafuddin sebagai peringatan keras supaya setiap dasar pembangunan dilaksanakan berteraskan amanah, ketelusan dan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesihatan awam, alam sekitar dan keharmonian antara kaum,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Pemuda Pas Selangor akan terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara kesucian agama Islam dan memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat Selangor secara berhikmah dan berprinsip.

"Menjunjung titah Tuanku bukan sekadar slogan, tetapi satu tanggungjawab moral, politik dan agama," tambah beliau.