Sultan Selangor dukacita, usul wakil rakyat tinggal sebelah kawasan ternak babi rasai derita penduduk setempat

Iklan
Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor pada 2030.

Baginda bertitah, perancangan tersebut dipandang serius, khususnya apabila terdapat kemungkinan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Tagar.

Iklan
Iklan

Titah Sultan Selangor, secara prinsipnya baginda akur dengan kewujudan penternakan babi berskala kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan sumber makanan masyarakat bukan Islam.

"Namun, pembangunan berskala besar disifatkan tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi Selangor yang majoritinya terdiri daripada penduduk Melayu Islam," titah baginda dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Baginda turut menzahirkan kebimbangan memandangkan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan sehingga kini masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

"Penduduk sekitar telah lama menanggung kesan negatif seperti bau busuk berlarutan, pencemaran air sungai dan masalah lalat yang tidak berkesudahan sehingga menjejaskan kualiti hidup serta kesihatan awam," titah baginda lagi.

Iklan

Sultan Selangor turut berkenan memetik firman ALLAH dalam Surah Al-An’aam ayat 145 yang menyatakan bahawa daging babi adalah kotor, sekali gus menegaskan sensitiviti umat Islam berkaitan isu tersebut.

Baginda juga menekankan bahawa Istana Pantai Bahagia, kediaman rasmi baginda, terletak di Kuala Langat dan baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, baginda menyifatkan adalah tidak munasabah untuk isu yang telah berlarutan lebih sedekad dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar.

Baginda turut mengusulkan agar wakil-wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat bagi merasai sendiri pengalaman sebenar yang dialami penduduk setempat.

Sultan Selangor juga tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran akan menjadi lebih buruk.

Dalam pada itu, baginda turut mempersoalkan sama ada projek penternakan babi berskala besar itu melibatkan kepentingan pihak tertentu serta kemungkinan wujud unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan dalam tadbir urus.

Baginda turut mengimbau usaha kerajaan Selangor mendapatkan maklumat berkaitan penternakan moden di luar negara yang dikatakan memerlukan kos tinggi, dan mempersoalkan sama ada cadangan terbaharu itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, sedangkan peruntukan tersebut lebih wajar disalurkan kepada pembangunan kemudahan asas seperti sekolah dan hospital.

Baginda menegaskan bahawa baginda tidak menolak sepenuhnya cadangan projek tersebut, namun kajian pasaran perlu dilakukan secara teliti dan rasional agar pembangunan ekonomi tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

"Kerajaan negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” titah baginda.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan bahawa Kerajaan Selangor merancang untuk memindahkan industri penternakan babi ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dijangka mula beroperasi pada 2030.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pemindahan itu dilakukan sebagai langkah jangka panjang bagi menangani isu pencemaran, wabak penyakit dan memelihara keharmonian masyarakat di kawasan penternakan sedia ada di Kampung Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat.