Jalan Raya Timur-Barat wajar dinaik taraf, keadaan jalan tidak berubah sejak dahulu - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Sudah tiba masanya Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dinaik taraf mengikut keperluan semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang pada masa hadapan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata terdapat keperluan untuk kerja penambahbaikan itu dilaksanakan segera, berbanding hanya menyalurkan peruntukan besar kepada negeri-negeri tertentu sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan untuk meningkatkan kemudahan dan penyelenggaraan kerana JRTB merupakan laluan utama penduduk di Utara menuju ke Pantai Timur sejak sekian lama, namun keadaan jalannya tidak banyak berubah sejak mula dibuka.

"JRTB sering digunakan oleh kenderaan berat sepanjang masa untuk mengangkut barangan, selain menjadi laluan utama orang ramai yang berulang-alik menggunakan kenderaan persendirian.

Iklan

"Kena lihat rupa bentuk jalan, bukan sekadar aspek keselamatan kenderaan atau disiplin pemandu.

"Saya harap pihak bertanggungjawab ambil kira semua faktor itu, khususnya rupa bentuk permukaan jalan,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis ramah mesra Aidiladha Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini, pada Selasa.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata peruntukan yang sewajarnya perlu diberikan untuk memperbaiki, melebarkan dan meluruskan laluan JRTB.

"Dahulu orang tak boleh lalu jalan itu waktu malam sebab ada komunis. Boleh lalu setakat 6 petang sahaja. Selepas komunis tiada, orang guna siang dan malam. Kenderaan makin banyak, tetapi keadaan permukaan dan bentuk jalan masih tahap lama,” ujarnya.

Menurutnya, tidak wajar peruntukan besar terus diberikan untuk membangunkan kawasan bandar yang sudah lengkap dengan pelbagai infrastruktur, sedangkan keadaan JRTB tidak banyak berubah sejak dahulu lagi.

"Isteri saya orang Terengganu, jadi saya hafal jalan itu. Isteri saya mengajar di Merchang selama setahun, jadi saya berulang-alik guna jalan itu. Jumpa gajah itu biasa.

"Jadi saya tahu keadaan di situ (JRTB). Bentuk jalan memang perlu dinilai semula sama ada sesuai atau tidak lagi dengan kelajuan kenderaan, kekerapan aliran trafik. Semua kena ambil kira,” tambah beliau.

Muhammad Sanusi berharap jalan utama yang menjadi penghubung antara Timur dan Barat itu mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk dinaik taraf.

"Orang Utara nak pergi ke Pantai Timur itulah jalan utama. Bawa barang dari Pantai Timur ke Pantai Barat pun guna jalan itu. Daripada beri peruntukan infrastruktur yang besar untuk negeri tertentu, berilah perhatian kepada jalan ini juga sebab ramai orang guna.

"Jarak perjalanan juga jauh. Jalan itu perlu dalam keadaan baik, tambahan pula di kiri kanan jalan hanya hutan. Tempat lain ada bandar, ada infrastruktur lain, tetapi jalan itu satu-satunya perhubungan. Kena beri perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di JRTB berdekatan Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.

"Kerajaan negeri ada hantar wakil menziarahi keluarga pemandu Perodua Alza yang menetap di Baling dan menerima rawatan di Hospital Baling.

"Semua keluarga pastinya sedih atas kehilangan mereka. Bertabahlah menghadapi ujian ini. Diharap mereka yang cedera segera pulih untuk meneruskan pengajian kembali,” katanya.