Pemandu e-hailing dijel lima tahun, satu sebatan merompak

Iklan
Wei Shern (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Selasa.

MELAKA - Padah merompak kedai emas dan mencederakan seorang warga emas, seorang pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Melvin Yen Wei Shern, 29, selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan rompakan dan dengan sengaja mencederakan Koh Kim Lye, 70, di Kedai Emas Tai Kwong pada pukul 11 pagi di Jalan Jawa, Kampung Jawa, di sini pada 22 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Iklan

Difahamkan, tertuduh bertindak melakukan jenayah tersebut kerana terdesak untuk membayar hutang beberapa along yang melibatkan jumlah keseluruhan pinjaman mencecah lebih RM200,000, selain mahu menyelesaikan hutang kekasihnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, memohon agar hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kerugian yang dialami oleh mangsa.

Iklan

Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh pula memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh menyara ibu bapa yang menghidap penyakit kronik.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, serta memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 22 Mei lalu.