DNAA kepada NFA: AGC dituntut teruskan proses pendakwaan terhadap Ahmad Zahid

Iklan
Umany dan HARAM dalam satu kenyataan bersama, mengecam sekeras-kerasnya keputusan mengklasifikasikan kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi sebagai NFA.

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) dituntut agar meneruskan semula proses pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermula dari tahap yang telah ditinggalkan sebelum ini.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat mengecam sekeras-kerasnya keputusan mengklasifikasikan kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Iklan
Iklan

"Kami menolak dakwaan AGC bahawa kes berkenaan tidak dapat diteruskan atas alasan bukti tidak mencukupi kerana ia bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan wujud kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

“Kami menuntut agar AGC meneruskan semula proses pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dari tahap yang telah ditinggalkan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Terdahulu, AGC memutuskan bahawa 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid melibatkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi telah diklasifikasikan sebagai NFA.

AGC dalam kenyataannya memaklumkan bahawa selepas meneliti keseluruhan kes, bukti sedia ada tidak cukup kukuh untuk meneruskan pendakwaan, sekali gus secara praktikalnya menamatkan kes berkenaan.

Iklan

Umany dan HARAM berpandangan bahawa keputusan tersebut amat membimbangkan.

Katanya, Mahkamah Tinggi pada Januari 2022 telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, iaitu pertuduhan mencukupi untuk Ahmad Zahid dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, pendakwaan kemudiannya memilih untuk menarik balik pertuduhan, menyebabkan pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

"Kini, kes ini dilabel sebagai NFA, sekali gus menutup ruang kepada sebarang tindakan undang-undang pada masa hadapan.

“Apa yang sukar diterima ialah percanggahan yang jelas apabila mahkamah sebelum ini bersetuju bahawa bukti pendakwaan mencukupi pada peringkat prima facie, namun kini AGC mendakwa bukti tersebut tidak mencukupi.

"Keadaan ini menimbulkan persoalan serius sama ada Kerajaan Madani benar-benar komited memerangi rasuah, atau wujud kompromi politik untuk melindungi sekutu tertentu," katanya.

Kenyataan bersama itu turut membangkitkan kebimbangan apabila keputusan tersebut dibuat pada waktu pelbagai kes rasuah lain terbongkar, termasuk skandal perolehan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta kes rasuah melibatkan lesen perlombongan di Sabah.

"Melepaskan seorang pemimpin politik yang sebelum ini didapati mempunyai kes prima facie menghantar mesej berbahaya kepada masyarakat, iaitu mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan boleh terlepas daripada hukuman.

"Ini melemahkan kepercayaan awam terhadap undang-undang dan menggalakkan budaya di mana rasuah dianggap perkara biasa dan tidak mempunyai akibat." menurut kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, sebelum memegang tampuk pemerintahan, Kerajaan Madani berjanji akan membawa pentadbiran yang bersih, namun keputusan seperti ini menunjukkan perjuangan menentang rasuah hanya menjadi slogan tanpa pelaksanaan sebenar.

"Rakyat tidak memerlukan janji lantang tanpa tindakan. Apa yang diperlukan ialah komitmen sebenar dan penguatkuasaan undang-undang yang konsisten." katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua organisasi menyatakan bahawa mereka kekal dengan pendirian untuk menentang keputusan mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai NFA dan menggesa AGC meneruskan semula pendakwaan terhadap kes tersebut.

“Sudah tiba masanya reformasi dilaksanakan secara menyeluruh dan rasuah benar-benar diperangi,” katanya.