PETALING JAYA – Seorang doktor gigi diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen pada Jumaat, atas dua pertuduhan menggajikan pekerja tidak berkelayakan dan membenarkannya bertugas di klinik miliknya, dua tahun lalu.
Berdasarkan kenyataan media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Noor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Dr Tong Soo Huan, 37, selaku orang kena saman (OKS).
Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa menggajikan pekerja yang tidak berkelayakan untuk menjalankan rawatan pergigian, selain membenarkan individu tersebut mengamalkan khidmat pergigian ke atas pesakit sedangkan ia bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
Kesalahan didakwa dilakukan di premis miliknya di sini pada May 2024.
OKS didakwa mengikut Seksyen 68 dan Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000, penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia kemudian diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Selepas berbincang, OKS mengambil pilihan ketiga.
Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan bela diri bermula 4, 9, 11 dan 12 Mac depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa KKM, Dr Ahmad Fadhil Mohd Shahidi, Dr Haznita Zainal Abidin dan Dr Faryna Md Yaakub, sementara OKS diwakili peguam, Bernard Liew Kin Jong.
Sementara itu, KKM berkata, kes ini menarik perhatian kerana melibatkan aspek keselamatan pesakit dan pematuhan undang-undang dalam amalan pergigian.
Katanya, ia selaras dengan usaha berterusan pihak berkuasa memastikan perkhidmatan kesihatan diberikan oleh individu yang berkelayakan dan berdaftar sahaja.