Lelaki Nigeria campak cucu tiri dari tingkat tiga pangsapuri dihukum mati

Iklan
Laporan Sinar Harian pada November 2020 lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Nigeria selepas didapati bersalah membunuh cucu tirinya dengan mencampak kanak-kanak itu dari tingkat tiga sebuah pangsapuri, enam tahun lalu.

Hakim, K Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati penganggur, Ibekwe Emeka Augustine, 48, bersalah atas semua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Semasa membaca keputusan, Muniandy berkata, semua kesalahan itu dilakukan dalam masa satu hari.

Katanya, ia bermula dengan tindakan tidak senonoh terhadap anak tirinya, cubaan membunuh, menyebabkan kecederaan parah dan membunuh, diikuti dengan percubaan tertuduh untuk membunuh diri.

Iklan

Menurutnya, tertuduh melakukan semua perbuatan itu dengan keji dan tanpa perikemanusiaan.

Katanya, tertuduh sepatutnya berhenti selepas isterinya menghalang dia daripada terus mencederakan ahli keluarga.

Iklan

“Bagaimanapun, tertuduh terus menerus mencederakan isterinya dengan teruk.

"Mereka semua trauma dengan kejadian itu dan terpaksa melarikan diri dari rumah sebelum perkara yang lebih dahsyat menimpa mereka.

“Malangnya cucunya meninggal dunia atas tanah apabila dia dibuang tanpa belas kasihan lalu tertuduh bertindak cuba membunuh diri," katanya.

Selain hukuman mati, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara setahun bagi cubaan bunuh diri, lima tahun bagi serangan seksual terhadap anak tiri perempuan, 14 tahun kerana menyebabkan cedera parah pada isteri dan lima tahun bagi cubaan membunuh anak kandung.

Hakim memerintahkan hukuman berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap, 29 November 2020, menjadikan tempoh pemenjaraan selama 14 tahun secara keseluruhan.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan bermula 14 Januari 2024.

Tertuduh sendiri dan Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Dr Ian Loyd Anthony hadir selaku saksi pembelaan dalam prosiding bela diri pada 8 September 2025.

Semasa prosiding, peguam, Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman penjara dan bukannya gantung sampai mati.

Menurutnya, sebelum kejadian itu berlaku, tertuduh yang memakai baju T berwarna putih hilang kewarasan kerana mengalami masalah mental ‘skizofrenia’ akibat pengambilan dadah.

Katanya, tertuduh tidak membuat perancangan awal untuk melakukan kesalahan berkenaan.

Zulkifli berkata, sejak ditempatkan di penjara, tertuduh tidak pernah menimbulkan masalah, maka pembelaan memohon mahkamah memberi hukuman berbentuk belas ihsan.

“Keluarga mangsa telah kehilangan satu nyawa, jadi saya harap mahkamah tidak mengambil seorang lagi nyawa kerana dia bukan penjenayah tegar sebaliknya kejadian tersebut berlaku disebabkan dadah.

“Kejadian ini juga telah menghantuinya sehingga ke hari ini, namun saya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sama ada hukuman pemenjaraan itu berjalan secara serentak atau berasingan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zaileen Nadia Zubir berkata, kejadian itu melibatkan empat mangsa iaitu arwah cucu tirinya, anak tiri, anak kandung dan isteri tertuduh.

Menurutnya, tiada rekod tertuduh mempunyai skizofrenia sebelum melakukan jenayah berkenaan.

“Tidak mungkin dia hilang pertimbangan kemudian kembali sedar selepas kejadian tersebut.

“Dia telah mengangkat dan menggantungkan kanak-kanak empat tahun itu, dengan cara memegang kaki dengan kepala mangsa di bawah.

“Ibu mangsa telah menyaksikan kejadian itu berlari untuk menyelamatkan anaknya namun gagal, kerana tertuduh bertindak mencampakkan kanak-kanak malang berkenaan dari tingkat tiga pangsapuri terbabit,” katanya.

Dalam keadaan huru-hara itu, beliau berkata, isteri tertuduh cuba untuk menyelamatkan cucunya tetapi tidak berjaya kerana dia juga menjadi mangsa apabila tertuduh bertindak melompat ke atas badannya.

Mengambil kira semua keterangan tersebut, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu gantung sampai mati atau penjara selama 35 tahun berserta sebatan.

Katanya, semua kesalahan yang dilakukan amat serius, maka beliau mohon pemenjaraan berjalan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas lima pertuduhan membunuh, cubaan membunuh, melakukan serangan seksual tanpa rela, mencederakan dan cubaan bunuh diri.

Mengikut pertuduhan pertama, Ibekwe didakwa membunuh cucu tirinya yang berusia empat tahun, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan serangan seksual dengan anak tirinya, ketika kejadian yang berusia 25 tahun tanpa kebenaran.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan cubaan membunuh anak lelaki kandungnya, ketika itu berusia tujuh tahun, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Ibekwe turut didakwa sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya semasa kejadian berusia 48 tahun dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sementara bagi pertuduhan cubaan bunuh diri, dia dituduh mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Danau Villa, Setapak di sini antara jam 7.45 hingga 8.15 pagi pada 29 November 2020.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zulkifli berkata, pembelaan akan merayu terhadap hukuman gantung sampai mati, di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Campak cucu tiri: Lelaki warga Nigeria direman tujuh hari

'Saya dengar orang menjerit minta tolong'

Berang gagal perkosa anak tiri punca suspek campak cucu