BALING - Keluarga menaiki Perodua Alza yang cedera selepas terbabit dalam nahas meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin, kini berada dalam pemantauan di Hospital Baling.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, isteri dan anak sulung pemandu kenderaan itu ditempatkan dalam wad yang sama bagi memudahkan pemantauan dilakukan.
Bagaimanapun pemandu terbabit, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan anak bongsunya, Muhammad Ahsan Nafis berusia dua tahun sudah dibenarkan pulang namun masih berada di wad bagi menjaga isterinya dan seorang lagi anaknya yang cedera.
"Saya berbual dan melihat keadaan beliau beransur pulih, begitu juga anak bongsu, tiada kesan luka.
"Walaupun kedua-dua sudah dibenarkan pulang semalam namun masih di wad menemani isteri dan anak sulung yang masih perlukan rawatan. Kesemua mereka ditempatkan di wad yang sama untuk memudahkan pemantauan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga berkenaan di Hospital Baling pada Selasa.
Dalam kemalangan itu, isteri Mohd Lutfi iaitu Nurul Ain Zakaria, 36, mengalami patah tulang rusuk sebelah kiri, manakala anak perempuannya, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, patah paha kanan.
"Isterinya masih dalam proses rawatan dan pemantauan kerana selain patah tulang rusuk, dia juga mengalami kesukaran untuk bernafas," katanya.
Difahamkan, semasa kejadian, Muhammad Ahsan Nafis tercampak keluar dari kenderaan, sementara Perodua Alza dinaiki mereka sekeluarga terperosok ke dalam longkang di bahu kanan jalan akibat impak kuat pelanggaran dengan bas yang membawa penuntut UPSI itu.
Mansor menjelaskan, Mohd Lutfi turut menceritakan kembali detik sebelum berlakunya nahas yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI itu.
"Kereta dinaiki mereka sekeluarga dikatakan berada di hadapan bas dan telah dilanggar dari arah belakang, menyebabkan kereta berpusing beberapa kali sebelum terjatuh ke dalam longkang," katanya.