KAJANG - Lima laporan polis diterima berhubung penganjuran program 'Glamping With Pride' yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penganjuran program berkenaan dipercayai boleh mendatangkan masalah sosial serta melanggar tatasusila.
"Laporan pertama berkaitan iklan program berkenaan diterima pada 8 Januari lalu kira-kira jam 6.10 petang dan setakat ini Polis Daerah Kajang menerima lima laporan berhubung perkara sama.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga tatasusila serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan mengganggu ketenteraman masyarakat.
"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil sekiranya aktiviti sebegini diteruskan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Polis Nur Ayuni Abd Aziz, di talian 016-208 0717 bagi membantu siasatan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor mendesak penganjur membatalkan program terbabit yang didakwa dianjurkan sebuah kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, hujung minggu depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, penganjuran program itu jelas tidak selari dengan norma masyarakat dan nilai agama yang diamalkan di negara ini.
Terdahulu, penganjur program ‘Glamping With Pride’dilaporkan tetap meneruskan program itu minggu depan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.
Program itu dianjurkan sebuah kumpulan LGBT dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.
Sebelum ini, pihak berkuasa telah digesa untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penganjuran program yang didakwa tidak bermoral dan menormalisasi ideologi gender.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program yang secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup songsang.
Dalam pada itu, MAIS turut menggesa individu terjebak dengan gaya hidup LGBT supaya kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan disediakan pihak berkuasa agama itu dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.