SHAH ALAM - Pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tidak berkuat kuasa secara retrospektif.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki berkata, meskipun pelaksanaan undang-undang itu membolehkan kewarganegaraan diberi secara automatik mulai pertengahan tahun ini, namun kanak-kanak yang lahir sebelum tarikh pelaksanaan masih perlu melalui proses pendaftaran.
"Mereka perlu diberikan kewarganegaraan Malaysia secara terus melalui pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
"Tiada kanak-kanak seharusnya dipinggirkan ekoran kelewatan dalam pelaksanaan undang-undang ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara, akan diberikan kewarganegaraan secara automatik berkuat kuasa Jun atau Julai tahun ini.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan itu selaras dengan perancangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu.
Dalam pada itu Farah Nini menjelaskan, pengurangan ketara tunggakan permohonan kewarganegaraan daripada kira-kira 50,000 kes kepada kurang 4,000 mencerminkan kemajuan dalam aspek pembaharuan pentadbiran.
Walau bagaimanapun beliau berkata, penambahbaikan dasar dan pelaksanaan masih diperlukan bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi sepenuhnya.
"Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 yang dipinda juga dijangka dilaksana serentak dengan pindaan Perlembagaan berkenaan.
"Oleh itu kami menggesa agar peraturan yang dipinda dapat diakses oleh orang awam, prosedur dipermudahkan serta wujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas supaya pemohon boleh menjejak status permohonan dan menerima alasan bertulis sekiranya permohonan ditolak," ujarnya.