Padah pelihara binturong sebagai hobi, seorang lelaki ditahan

Iklan
Seekor binturong ditemui dalam serbuan di sebuah kediaman di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Jumaat.

SEBERANG JAYA - Hobi seorang lelaki memelihara hidupan liar dilindungi sepenuhnya disyaki binturong di kediamannya di Taman Sutera Prima, di sini hanya menjerat diri selepas ditahan pada Jumaat.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan sokongan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Seberang Jaya serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan kira-kira jam 10.10 malam itu membongkar kegiatan pemilikan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Menurutnya, pemeriksaan di kediaman terbabit menemui seekor hidupan liar disyaki binturong bernilai RM50,000 iaitu spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Iklan

Lokasi penemuan seekor binturong di sebuah kediaman di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Jumaat.

"Seorang lelaki tempatan yang dipercayai memelihara binturong itu sejak 2019 telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, pasukan operasi turut menyita telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut.

Kata beliau, operasi ini dilaksanakan hasil maklumat risikan dan sokongan awam serta penglibatan pelbagai agensi berkaitan.

"Pendekatan bersepadu seperti ini mampu memberi impak yang lebih besar dan berkesan dalam menangani jenayah melibatkan hidupan liar,” ujarnya.

Tegasnya, kesemua sitaan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Pulau Pinang bagi siasatan termasuk mengenal pasti kemungkinan penglibatan rangkaian atau sindiket yang lebih besar.

Kata beliau, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan selari dengan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), khususnya dalam memastikan siasatan dijalankan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

“Usaha membanteras aktiviti pemilikan dan penyeludupan hidupan liar akan diteruskan secara konsisten dan berkala. Kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan adalah kunci utama bagi melindungi khazanah biodiversiti negara,” ujarnya.