SUNGAI BULOH - Seorang lelaki cedera selepas dipukul pemain pasukan lawan sebaik tamat perlawanan persahabatan bola sepak di Padang Bola Sepak RRI Sungai Buloh di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 Januari lalu kira-kira jam 4.24 petang.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.56 malam ketika mangsa bersama pasukan bola sepaknya menyertai perlawanan persahabatan di padang berkenaan.
"Selepas tamat perlawanan, mangsa telah dipukul menggunakan tangan oleh seorang individu dipercayai pemain daripada pasukan lawan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan.
"Susulan laporan diterima, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz Seleman di talian 016-450 7492.