Pengurusan kes Saifuddin Nasution saman Tam Jebat 10 Julai depan

Iklan
Saifuddin Nasution

ALOR SETAR - Pengurusan kes saman fitnah yang difailkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Tam Jebat akan dijalankan pada 10 Julai di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Saifuddin melalui firma guaman SN Nair & Partners, telah memfailkan saman terhadap Muhammad Zubair Ismail atau Tam Jebat selepas gagal mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tiga hari yang ditetapkan dalam surat tuntutan (LOD) bertarikh 4 April.

Iklan
Iklan

Dalam pemfailan mahkamah, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfailkan saman terhadap Muhammad Zubair kerana menggunakan saluran TikTok dan Facebook untuk mencemarkan nama baiknya.

Peguam SN Nair ketika dihubungi memaklumkan, pengurusan kes awal telah dilakukan secara dalam talian pada Isnin yang mana sesi seterusnya dijadualkan pada 10 Julai.

Iklan

Pada 6 April, media melaporkan Saifuddin Nasution telah mengeluarkan LOD kepada seorang pengguna Facebook berkenaan kenyataan yang didakwa memfitnah mengenai pasukan bola sepak negeri.

LOD tersebut meminta permohonan maaf secara terbuka bagi satu kenyataan bertarikh 26 Mac yang mana Muhammad Zubair menuduh Saifuddin Nasution telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu Persatuan Bola Sepak Kedah pada tahun lalu.

Iklan

Saifuddin Nasution mendakwa, kenyataan itu palsu, berniat jahat, memfitnah dan cuba menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan tidak cukup bermoral untuk menjadi penjawat awam.

Beliau berkata, kenyataan itu menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politiknya, menyebabkan beliau dicemuh dan diganggu dalam talian.

Tindakan itu didakwanya membawa kepada penarikan balik penaja selain menuduh Saifuddin Nasution cuba menggambarkan dirinya sebagai 'wira' untuk mendapatkan simpati awam.

Satu lagi hantaran Muhammad Zubair di TikTok yang ditonton lebih 65,000 kali, didakwa mengejek Saifuddin kerana memberikan sumbangan RM200,000 kepada pemain bola sepak KDA FC sempena Aidilfitri.

Muhammad Zubair mendakwa, tindakan itu hanya untuk menunjuk-nunjuk berbanding bantuan bulanan diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Saifuddin Nasution berkata, video itu juga secara palsu membayangkan beliau bertindak biadab dengan tidak melibatkan pemilik kelab ketika memberi sumbangan.

Beliau mengalami tekanan mental yang serius dan berdepan malu akibat tindakan Muhammad Zubair itu dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan.

Bagaimanapun Muhammad Zubair tidak mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka walaupun diberi peluang berbuat demikian pada 4 April lalu.

Pada 25 Mac, Saifuddin Nasution telah mengadakan pertemuan dengan pemilik Kedah FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar untuk membincangkan hala tuju kelab itu berikutan situasi tunggakan gaji pasukan.

Pertemuan itu katanya didorong oleh minat peribadinya terhadap bola sepak dan pasukan Kedah.